Anggota polis meninggal dunia ketika berjoging

Sinar Harian
Januari 22, 2020 08:55 MYT
Allahyarham disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika berjoging di Taman Perbandaran Tengku Anis hari ini. - Foto ihsan pembaca
Isteri kepada seorang anggota polis tidak menyangka pesanan suaminya berulang kali supaya dia belajar memandu kereta sambil menyebut tentang ajal menjadi petanda suaminya pergi buat selama-lamanya.
Dalam kejadian jam 10 pagi tadi, Allahyarham Koperal Khairul Anuar Md Nor, 44, meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika berjoging di Taman Perbandaran Tengku Anis, di sini.

Zalilawati Deraman, 45, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah suaminya petang semalam sebelum keluar bekerja pada shif sebelah malam di sebuah kilang di Pengkalan Chepa.

“Saya masuk kerja pada jam 7.45 malam dan pergi dengan menaiki van syarikat. Pada sebelah petang sebelum itu, kami menjemput anak bongsu berusia 7 tahun dari sekolah dan bersiar-siar sambil minum di kedai.

“Masa tu dia kata pada saya, Mama (Zalilawati) ada lesen bawalah kereta sendiri, kalau saya tidak ada (meninggal dunia) nanti macam mana,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Terdahulu katanya, maklumat mengenai kematian suaminya diketahui melalui kenalannya yang datang ke rumah dan menunjukkan penularan gambar suami di aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan kesahihan sebelum kemudian bergegas ke hospital.
Menurutnya, arwah suaminya seorang yang suka berjoging dan mereka berdua juga sering melakukan aktiviti tersebut bersama-sama.
“Saya habis kerja dan tiba di rumah pada jam 10 pagi tadi. Kalau tidak kerja, arwah akan joging bersama saya setiap pagi tetapi hari ini dia pergi seorang diri.
“Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gertak Lembu, Salor selepas solat Asar hari ini,” katanya.
BACA: Pemuzik ternama Lok-U meninggal dunia

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu jenazah dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat.

Abdul Rahim turut mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham Khairul menyifatkannya sebagai satu kehilangan kerana arwah adalah seorang anggota yang sangat berdedikasi, peramah dan disenangi rakan sekerja.
“Kematian arwah diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

#anggota polis #Hospital #jenazah #mati #meninggal dunia #meninggal waktu joging #polis