IPOH: Seorang anggota polis mengalami patah tulang rusuk dan bahu akibat dilanggar dua kali oleh sebuah kereta ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan - Chemor, malam tadi

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian langgar lari terhadap anggota berumur 34 tahun itu berlaku kira-kira pukul 7.30 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa bersama seorang lagi pegawai rendah polis yang membuat rondaan cegah jenayah bermotosikal di jalan berkenaan telah menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru yang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

“Pemandu kereta tersebut telah bertindak mengundurkan kereta dan terus melanggar motosikal mangsa yang menyebabkannya terjatuh.

“Setelah melanggar mangsa, suspek menggerakkan kereta ke hadapan dan mengundur sekali lagi hingga melanggar mangsa kali kedua,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Yusri berkata, suspek kemudiannya memecutkan kereta meninggalkan tempat kejadian dan menghala ke arah Tanah Hitam.

Menurutnya, impak daripada pelanggaran itu menyebabkan mangsa telah mengalami kecederaan dan tidak dapat bergerak.

“Pemeriksaan awal oleh pihak hospital mendapati mangsa mengalami patah tulang rusuk dan tulang bahu,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang giat mengesan pemandu kereta terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kanan jenayah IPD Ipoh, ASP Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.