MALAYSIA

Anggota polis pulang ke rumah selepas empat hari dilaporkan hilang

Bernama 20/10/2025 | 06:41 MYT
Siaran media IPD Subang Jaya berhubung anggota polis yang hilang selepas keluar dari rumah pada Khamis. -Facebook
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas (16 Okt) selamat pulang ke rumahnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan USJ 8, awal pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Anggota polis yang dilaporkan hilang sejak 16 Okt selamat pulang ke kuarters IPD Subang Jaya awal pagi tadi.
  • Sepanjang tempoh menghilangkan diri, dia berada di beberapa masjid sekitar Morib dan Putra Heights.
  • Polis sahkan anggota berusia 40 tahun itu berada dalam keadaan selamat dan sihat, serta telah membuat laporan polis.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata anggota berusia 40 tahun itu dilihat memasuki kuarters berkenaan pada 1.45 pagi oleh anggota yang bertugas.

"Pegawai penyiasat kemudian dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum membawanya ke Balai Polis USJ 8 untuk membuat laporan polis dan menghubungi isterinya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota berkenaan berada dalam keadaan selamat dan sihat, serta memaklumkan bahawa sepanjang tempoh menghilangkan diri, dia berada di beberapa masjid sekitar Morib dan Putra Heights.

Semalam, Wan Azlan dilaporkan berkata pihaknya sedang mengesan anggota berkenaan selepas dia keluar dari rumah pada Khamis dan gagal dikesan.


Ahli keluarga anggota itu kemudian membuat laporan polis pada kira-kira 9.15 malam selepas semua usaha mencarinya tidak berhasil.

-- BERNAMA




#Putra Heights #anggota polis hilang #selamat pulang ke rumah #kuarters IPD Subang Jaya