Anggota polis sedang bertugas maut tertembak diri sendiri

Afiezy Azaman
Disember 29, 2019 10:28 MYT
Mangsa berusia 26 tahun, dipercayai tertembak dirinya sendiri pada jarak lebih kurang 50 meter dari sekatan jalan raya yang dilakukan.
Seorang anggota polis maut selepas tertembak dirinya sendiri ketika bertugas di Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor, pada awal pagi Ahad.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad, kejadian berlaku pada jam 3.55 pagi semasa anggota dari Balai Polis Dengkil itu sedang bertugas dalam operasi sekatan jalan raya di kawasan tersebut.
Katanya, mangsa berusia 26 tahun itu dipercayai telah tertembak diri sendiri pada jarak lebih kurang 50 meter dari sekatan jalan raya yang dilakukan.
"Peluru dipercayai tembus di bahagian kepala kerana terdapat satu kesan luka masuk sebelah kanan atas telinga dan satu kesan luka keluar tembakan di atas telinga kiri," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Md Noor Aehwan berkata pasukan perubatan tiba pada 4.35 pagi dan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah mangsa telah dihantar ke Hospital Sedang untuk dibedah siasat.
"Hasil pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan luka tembakan masuk di sisi kanan menembusi tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan," jelasnya.
Difahamkan, mangsa telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lima tahun dan meninggalkan seorang isteri serta seorang anak.
#anggota polis maut #Balai Polis Dengkil #Dengkil #Hospital Sedang #Kampung Sungai Buah #Polis Daerah Sepang #polis tembak diri sendiri