SHAH ALAM: Seorang anggota polis trafik cedera selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta Proton X70 di KM8.9 Lebuhraya Persekutuan arah Shah Alam-Klang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kemalangan kira-kira 12.45 tengah hari itu berlaku ketika Sarjan Abdul Jalil Md Said, 35, yang melakukan rondaan Op Selamat sedang berada di lorong kiri jalan.

"Tiba-tiba kereta Proton X70 dari laluan sama masuk ke susur kiri secara mengejut untuk menuju ke stesen minyak yang menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Abdul Jalil yang cedera di bahagian muka dan tangan akibat terjatuh di atas jalan kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

Katanya pemandu Proton X70 iaitu lelaki berusia 42 tahun tidak cedera dan keretanya hanya rosak di pintu kiri.

Menurut Mohd Iqbal, lelaki itu diarah membuat laporan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini bagi siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kemalanngan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066 744 untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA