KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera yang ditahan kerana disyaki mencabul kehormatan seorang pekerja wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat di sini pada 7 Okt lepas, akan dituduh di Mahkamah Majistret Ampang, pagi esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 26 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

"Polis telah mendapat kebenaran daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek dan dia akan dituduh esok," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.

Pada 5 Okt lepas, mangsa yang berusia 18 tahun telah didatangi seorang lelaki berpakaian tentera mahu membeli barangan vape di kedai itu.

Lelaki berkenaan keluar dari kedai selepas selesai membeli barangan vape namun masuk semula ke kedai berkenaan.

Ketika mangsa menyerahkan pod vape kepada lelaki itu, lelaki berkenaan dipercayai mengambil kesempatan memegang tangan mangsa dan kemudian turut menjilat jari mangsa.

-- BERNAMA