MALAYSIA
Anggota tentera direman bantu siasatan kes bunuh dan samun di Melaka

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam semalam, warga emas Abdul Rahman Pileh, 60, ditemui maut dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam. - Foto Astro AWANI
Seorang anggota tentera direman tujuh hari di Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kejadian samun dan bunuh di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang malam tadi.
Perintah tahanan reman sehingga 21 Julai ini dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Melaka Analia Kamaruddin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek berusia 35 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 dan 394 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan melakukan samun bersenjata.
Afzanizar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkaitan kejadian terbabit, jam 8.13 malam yang memaklumkan sebuah rumah di Taman Bukit Terendak disamun.
Sebaik tiba di lokasi, pihak polis menemukan seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumahnya dan pemeriksaan lanjut ke dalam rumah menemukan seorang lelaki dalam keadaan tertiarap, serta berlumuran darah.
Pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu mendapati sudah meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada leher bagaimanapun tiada sebarang senjata ditemui.
Suspek kemudian ditahan kira-kira dua jam selepas kejadian di sekitar taman perumahan terbabit.
Afzanizar berkata, motif kejadian dipercayai samun bersenjata, namun pihaknya belum menerima pengesahan daripada keluarga mangsa mengenai kehilangan barang berharga.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami