MALAYSIA

Angka ekonomi negara memukau, namun jangan dilupakan yang terpinggir - PM

Asyraf Malik 27/01/2026 | 11:14 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata nasib golongan rentan harus terus diangkat tatkala pelbagai petunjuk ekonomi positif termasuk pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan dan perdagangan negara. -Gambar fail/Astro AWANI
SEMENYIH: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan ketika ini tidak seharusnya mengaburi mata, kerana masih wujud kelompok masyarakat yang bergelut dengan kemiskinan.


Ringkasan AI
  • Anwar Ibrahim menekankan bahawa walaupun pertumbuhan ekonomi negara positif, masih terdapat golongan masyarakat yang berdepan dengan kemiskinan.
  • Beliau menegaskan kepentingan untuk mengangkat nasib golongan rentan, menjalankan pembangunan ekonomi secara inklusif, serta memperbaiki jurang sosial demi kestabilan negara.
  • Anwar meminta kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan dan swasta, untuk berusaha membantu golongan miskin tegar, menjelaskan bahawa kejayaan ekonomi hanya bermakna jika rakyat turut merasai manfaatnya.


Tegas Perdana Menteri, nasib golongan rentan harus terus diangkat tatkala pelbagai petunjuk ekonomi positif termasuk pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan dan perdagangan negara yang mencecah lebih RM1 trilion pada tahun 2025.

"Kita lihat yang gagah akan timbul, kita lihat beberapa perancangan yang cukup indah, cukup hebat.

"Tetapi kita harus juga ingat dalam keadaan ramai hidup senang, masih ada kelompok yang tersisih, yang miskin, yang sukar untuk hidup dengan baik.

"Tanggungjawab kita, kerajaan, swasta, yang kaya, yang miskin, untuk cuba perbaiki, bekerjasama untuk membawa perubahan dalam negara kita," ujar Anwar ketika hadir pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, di sini, pada Selasa.

Tambah Perdana Menteri, pertumbuhan ekonomi yang tidak bersifat inklusif hanya akan mewujudkan jurang sosial yang lebih luas dan akhirnya menjejaskan kestabilan negara.

Justeru, beliau menegaskan bahawa agenda pembangunan ekonomi mesti berjalan seiring dengan usaha membela kebajikan rakyat, khususnya golongan miskin tegar.

"Angka ekonomi ketika ini memang memukau, namun kita mesti ambil sikap yang positif. Bantu rakyat, jangan tunggu mereka datang.

"Cari apa-apa penyelesaian yang baik. Baru rakyat boleh merasakan mereka ini sebahagian daripada hidup yang lebih lumayan dan selesa dalam negara kita," katanya lagi.



#ekonomi #golongan rentan #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #pengukuhan ringgit #peningkatan pelaburan