ANKARA: Sekurang-kurangnya 34,971 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober lepas, kata Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikepung pada Sabtu.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan, menyatakan bahawa 78,641 orang lagi turut cedera dalam serangan itu, lapor Agensi Anadolu.

"Serangan Israel membunuh 28 orang dan mencederakan 69 yang lain dalam tempoh 24 jam yang lepas," menurut kenyataan itu.

"Ramai lagi yang masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka," tambah kenyataan itu.

Israel telah melancarkan serangan yang tidak berkesudahan ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023. Tel Aviv juga mengenakan sekatan yang memburukkan keadaan di Semenanjung Gaza menyebabkan penduduknya, terutamanya di Gaza utara, berdepan kebuluran.

Tujuh bulan selepas perang Israel, menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza berpindah di tengah-tengah sekatan yang melumpuhkan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala sebahagian besar infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang pada Januari lalu mengeluarkan keputusan sementara memerintahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah untuk memastikan bantuan kemanusiaan diberikan kepada penduduk awam di Gaza.

-- BERNAMA