Angkasa mampu jadi koordinator elak peranan 'orang tengah'

Mohd Zalani Md Atan
Ogos 7, 2022 06:04 MYT
Fattah sewaktu membuat lawatan kerja ke Koperasi Akua Tani Pandan 2 Kuantan Berhad, di Kuantan pada Ahad. - Foto Astro AWANI
KUANTAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kini bukan sahaja berperanan menjaga koperasi tetapi sebagai koordinator penggerak sumber yang mampu mengelakkan peranan 'orang tengah' dalam rangkaian tawaran harga barangan pengguna.
Menurut Presiden Angkasa, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah, ini kerana pihaknya mempunyai sistem database dengan hampir 10 juta pengguna dan dengan penggunaan sistem ini, Angkasa yakin mampu menawarkan harga barangan yang lebih baik kepada pengguna.
Malah dengan kerjasama antara Angkasa dan pelbagai agensi kerajaan, peranan kartel dalam menentukan paras harga akan dapat diimbangi dan faedahnya dirasai pengeluar dan pengguna.
"Angkasa cuba main peranan macam mana kita boleh mengurangkan peranan orang tengah supaya harga yang ditawarkan oleh kepada pengguna, ahli koperasi lebih murah sementara pengeluar dapat harga yang lebih tinggi.
"Ini berlaku dengan kita menggunakan kaedah pemasaran menggunakan platform digital. Jadi order daripada pengguna melalui kedai-kedai kepada pembekal melalui digital, tak payah pakai orang, pakai sistem sahaja, itu lebih mudah," katanya.
Fattah berkata kepada media ketika lawatan kerjanya ke Koperasi Akua Tani Pandan 2 Kuantan Berhad, di sini pada Ahad.
Menurut Fattah lagi, Angkasa kini mempunyai hampir 3,000 kedai koperasi di bawah projek 'BA100' yang juga terlibat dengan program Jimat Shop dan Jimat Biz.
Ia mampu dimanfaatkan peruncit dan pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, lebih kompetitif dan seimbang secara dalam talian.
Semalam Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata gerakan koperasi antara langkah yang boleh diambil kerajaan dalam usaha memerangi 'orang tengah' yang cuba mengambil keuntungan berlebihan.
#Angkasa #koperasi #orang tengah #Abdul Fattah Abdullah