KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mencadangkan agar kerajaan Pusat mengubah strategi sedia ada dalam menangani pandemik COVID-19. Ini termasuk membawa masuk mereka yang benar-benar pakar dalam bidang tertentu bagi membantu kerajaan.

Dalam kenyataannya hari ini Anifah mencadangkan kerajaan membentuk tiga jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Kesihatan, Jawatankuasa Ekonomi dan Jawatankuasa Keselamatan.

Jelas Anifah setiap jawatankuasa ini perlu diketuai pakar dalam ketiga-tiga bidang berkenaan dan diberi kebebasan untuk menamakan ahlinya yang terdiri anggota pentadbiran kerajaan, ahli akademik dan pemain pasaran.

“Kegagalan strategi perintah kawalan pergerakan yang dipraktikkan selama ini dalam mengurangkan kes jangkitan COVID-19 dalam negara.

“Justeru ini masanya bagi kerajaan membenarkan mereka yang pakar dalam bidangnya untuk turut sama membantu,” jelasnya.

Rombak program vaksinasi

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) turut mempersoalkan amalan pembekalan vaksin sedia ada yang hanya membenarkan ia dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Justeru beliau mahu program vaksinasi negara dirombak dengan membenarkan vaksin diperoleh menerusi pasaran bebas bagi memberi pilihan buat orang ramai mendapatkannya.

“Program vaksinasi yang ada kini penuh birokrasi dan melibatkan terlalu banyak agensi kerajaan yang fungsinya bertindih.

“Ini menampakkan seolah-olah kerajaan hanya berminat untuk melihat peningkatan jumlah pendaftaran berbanding jumlah yang mendapatkan vaksin,” ujarnya.

Anifah percaya jika pengamal perubatan dan hospital swasta dibenarkan untuk memberikan vaksin, sebahagian orang akan mendapatkannya walaupun bukan percuma kerana mereka sedar mengenai bahayanya pandemik ini.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis ini juga menyentuh mengenai kelewatan program vaksinasi di kawasan perkampungan di Sabah yang dakwanya berpunca isu sama.

“Terdapat banyak jenis vaksin yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) namun di Sabah penduduk terpaksa menanti tarikh vaksinasi kerana perlu menunggu bekalan jenis vaksin yang belum diterima kerajaan.

“Ini berlainan dengan amalan di beberapa negara termasuk Turki yang memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk memilih jenis  vaksin di mana-mana klinik yang disahkan,” tambahnya.

Belajar daripada China

Anifah pada masa sama berharap setiap pihak bekerjasama bagi menyokong petugas kesihatan termasuk meningkatkan peruntukan kewangan kepada hospital awam bagi meningkatkan keupayaan dan kecekapan perkhidmatan.

“Dengan jangkaan bekalan vaksin akan bertambah bermula bulan ini, infrastruktur kesihatan awam perlu diperkuatkan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai isu kekurangan doktor dan jururawat yang sedang dihadapi negara ketika ini Anifah meminta kerajaan merujuk kepada kejayaan China yang berjaya mengawal pandemik berkenaan.

Malah jika perlu memohon bantuan anggota perubatan daripada negara tembok besar itu.

“Kementerian Luar perlu menggunakan saluran diplomasi dengan memohon penghantaran 2,000 doktor, jururawat dn petugas kesihatan bagi membantu pejuang barisan hadapan kita memerangi pandemik ini," katanya.

Tambahnya lagi, pengalaman China dalam membina hospital baharu dalam tempoh singkat ketika pandemik memuncak di negara itu perlu dipelajari. Malah negara jiran, Brunei Darussalam telah berjaya membina hospital Mega dengan bantuan China.

Hentikan percaturan politik

Anifah turut merujuk kejayaan China dalam menvaksin lebih 14 bilion rakyatnya. Kata Anifah secara purata China berjaya mencapai 100 juta dos dalam masa sembilan hari, angka yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia.

Justeru beliau mahu kerajaan tidak terlalu berbangga dengan pencapaian vaksinasi ketika ini sebaliknya beri tumpuan kepada penderitaan mental, ekonomi dan fizikal rakyat.

Beliau pada masa sama menggesa semua ahli politik agar menghentikan amalan politik bersifat perkauman, berhenti bercakap seperti pakar dalam segenap bidang dan berhenti melanggar garis panduan (SOP) yang  ditetapkan seolah-olah mereka lebih istimewa daripada rakyat.