MALAYSIA

Anjing serang kanak-kanak di Cheras anjing liar

Bernama 05/09/2025 | 06:15 MYT
Pada 3 Sept lalu, seorang kanak-kanak lelaki cedera digigit seekor anjing ketika sedang bermain basikal di jalan berhampiran rumahnya dalam kejadian di Taman Megah, Cheras, pada 6.30 petang. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Anjing yang menyerang kanak-kanak berusia enam tahun hingga cedera di kepala di Cheras pada Rabu lepas, disahkan anjing liar.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengesahkan perkara itu dan surat pemakluman untuk anjing diserahkan kepada Jabatan Veterinar telah dikeluarkan.

"Pihak MPKj mengesahkan anjing itu tiada pemilik. Mangsa yang sebelum ini dirawat di Hospital Kajang masih menerima rawatan di Wad Kanak-Kanak Hospital Putrajaya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, video menunjukkan seorang kanak-kanak cedera parah selepas diserang seekor anjing ketika bermain basikal berhampiran rumahnya di Batu 9, Cheras tular di media sosial.

Dalam kes berasingan, Naazron berkata polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun malam tadi, selepas memanjat bumbung sebuah rumah dengan bersenjatakan pisau di kawasan perumahan di Semenyih.

"Polis menerima maklumat kejadian pada 8.50 malam dan memujuk lelaki itu dengan bantuan bomba. Setelah hampir empat jam dipujuk, suspek yang hanya memakai seluar pendek berjaya ditahan," katanya.

Naazron berkata suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dibawa ke Hospital Kajang, selain semakan mendapati lelaki itu mempunyai 26 rekod lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dengan mereka mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Khairie Ridhwan Azmi menerusi talian 011-36307974.

-- BERNAMA

#anjing liar #Kanak-kanak #Semenyih #Cheras