MALAYSIA

Anjung Syawal Putrajaya sokong TMM2026, pamer keunikan sambutan Ramadan di Malaysia

Bernama 05/02/2026 | 14:45 MYT
Muhammad Amin Noriman (tengah) ketika Sidang Media Anjung Syawal 2026 sempena Festival Ramadan Putrajaya 2026 di Perbadanan Putrajaya, Presint 3, hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Penganjuran Anjung Syawal Putrajaya bersempena dengan Festival Ramadan Putrajaya 2026 (FRP2026) dijangka menjadi antara tarikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan, acara dan budaya bertaraf antarabangsa.


Ringkasan AI
  • Anjung Syawal Putrajaya menjadi tarikan utama Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran jualan RM40 juta dan lebih satu juta pengunjung.
  • Program tersebut mempromosikan pelancongan berimpak tinggi melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Perbadanan Putrajaya.
  • Anjung Syawal FRP2026 di Dataran Putrajaya menampilkan fesyen busana Aidilfitri, pertunjukan kebudayaan, ceramah agama, nasyid, qasidah, dan tadabbur al-Quran untuk menonjolkan keunikan budaya dan nilai Islam negara.


Pengurus Penganjur Anjung Syawal FRP2026 Muhammad Amin Noriman Azmi berkata acara itu, yang merupakan antara bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang, menyasarkan jualan keseluruhan mencecah RM40 juta, selain menarik lebih satu juta pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.

Beliau berkata penganjuran program itu bukan sahaja memberikan limpahan ekonomi kepada peniaga, tetapi juga berfungsi sebagai platform mempromosikan pelancongan berimpak tinggi yang menampilkan gabungan elemen budaya, hiburan, keusahawanan dan kerohanian.

"Kerjasama strategik dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Perbadanan Putrajaya membolehkan Anjung Syawal menyokong inisiatif TMM2026 melalui penawaran produk pelancongan tempatan dan aktiviti mesra pelancong.

"Kita mahu menonjolkan keunikan serta suasana menyambut Ramadan dan Aidilfitri di negara ini kepada pelancong," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anjung Syawal yang disenaraikan secara rasmi dalam kalendar TMM2026 menerusi FRP2026 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPJ) akan berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3 dari 18 Feb hingga 19 Mac ini.

Antara tarikan utama Anjung Syawal FRP2026 ialah peragaan fesyen busana Aidilfitri serta pertunjukan kebudayaan yang dirangka bagi menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan acara dan budaya kepada pengunjung.

Selain itu, pengisian kerohanian turut menjadi fokus utama menerusi ceramah agama dan tazkirah melibatkan 31 penceramah, termasuk penampilan khas Mufti Wilayah Persekutuan Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dan beberapa pendakwah terkenal seperti Ustaz Syamsul Debat dan Habib Ali Zainal Abidin.

Persembahan kumpulan nasyid tersohor, alunan qasidah serta sesi tadabbur al-Quran turut melengkapkan acara itu, sejajar dengan usaha TMM2026 untuk mengetengahkan keunikan budaya dan nilai Islam sebagai tarikan pelancongan negara.

-- BERNAMA

#Ramadan #pelancongan #pendakwah #FRP2026