Annuar Musa nafi langgar SOP, hanya 'terserempak'

Nailah Huda
Januari 29, 2021 10:18 MYT
Dalam gambar yang dimuat naik Annuar Musa, beliau dilihat berjalan bersama mantan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Dr Nordin Razak dan Datuk Nik Aminaldin Nik Jaafar. - Foto Twitter @AnnuarMusa
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan bahawa beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dipersoal orang ramai di media sosial.
Semalam, Annuar memuat naik sekeping gambar menerusi Twitter yang menunjukkan Ahli Parlimen Ketereh itu berjalan untuk tujuan bersenam bersama mantan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Dr Nordin Razak dan Datuk Nik Aminaldin Nik Jaafar.
Tindakan tersebut menimbulkan teguran kerana beliau beriadah dalam kumpulan bertiga, manakala SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengehadkan dua orang untuk joging bersama di kawasan kejiranan.

Foto ini timbulkan teguran tentang SOP..saya faham sebab komentar berasaskan foto..Hakikatnya kedua dua mereka buat BRISK WALKING masing masing,berseorangan. Kebetulan terserempak di persimpangan jln SetiaBakti 1.Kami kemudianya berpecah,meneruskan riadah masing2.SOP COMPLIED

— Annuar Musa (@AnnuarMusa) January 29, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Hakikatnya kedua-dua mereka buat ‘brisk walking’ masing-masing berseorangan,” jelas Annuar melalui Twitter hari ini.
“Kebetulan terserempak di persimpangan Jalan Setia Bakti. Kami kemudiannya berpecah, meneruskan riadah masing-masing. SOP complied.”
Salah seorang individu yang mempersoalkan tindakan tersebut termasuk Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran menerusi satu ciapan di Twitter.

No Physical Distancing No Face Mask No action taken (of course) https://t.co/PwNtRKWTMc

— M. Kula Segaran (@mkula) January 29, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Isnin lalu, seramai 17 individu berusia dari 13 hingga 41 tahun dikompaun RM1,000 kerana melakukan aktiviti joging di Hutan Rekreasi Sungai Udang, Alor Gajah.
MKN sebelum ini menetapkan bahawa hanya seorang atau dua orang dari satu rumah dibenarkan joging di kawasan perumahan bagi penduduk di kawasan yang dikenakan PKP.
Jelas Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, setiap SOP yang dikeluarkan bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi bagi memastikan kesihatan rakyat dapat dijaga dengan baik.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang menggubal hukuman lebih berat serta kompaun yang lebih tinggi bagi kesalahan individu atau syarikat yang gagal mematuhi SOP di kawasan PKP dalam Ordinan Darurat.
#Annuar Musa #SOP #PKP #Majlis Keselamatan Negara #perintah kawalan pergerakan #prosedur operasi standard #Nordin Razak #Nik Aminaldin Nik Jaafar #langgar SOP