CYBERJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Haji Musa menzahirkan keyakinan beliau terhadap infrastruktur digital negara bagi merealisasikan aspirasi komunikasi dan digital Malaysia pada masa ini dan masa hadapan.

Beliau menyatakannya selepas sesi lawatan kerja beliau ke Pusat Operasi Rangkaian TM di Cyberjaya hari ini.

“Saya amat gembira dengan lawatan pada hari ini, dan daripada apa yang dapat saya lihat, saya amat yakin yang kita memiliki tenaga kerja, keupayaan dan infrastruktur bagi memastikan tahap sambungan 100% di seluruh negara. Kita akan pastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan,” kata Annuar selepas lawatan tersebut.

Pusat Operasi Rangkaian tercanggih milik TM ini berfungsi sebagai nadi infrastruktur digital dan komunikasi negara yang mengendalikan lebih daripada 600,000 km kabel komunikasi dan lebih daripada 26,700TB data setiap hari.

Pusat ini turut memantau keadaan dan operasi bagi 30 buah sistem kabel dasar laut yang membawa 1,990TB data internet ke dalam dan luar negara.

Annuar Musa beramah mesra dengan para petugas sambil diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM Imri Mokhtar,(memakai kot kelabu) semasa sesi lawatan ke Pusat Operasi Rangkaian TM di Cyberjaya awal hari ini.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, Pengerusi TM, Dato’ Mohammed Azlan Hashim berkata, “Kami amat berbesar hati menerima kunjungan YB Tan Sri TPr Annuar dan para pegawai kanan daripada pihak Kementerian dan MCMC pada hari ini. Lawatan ini memberi kami peluang untuk memberi pendedahan berkenaan pelbagai segmen pelanggan yang kami layani serta kemantapan teknologi digital yang dimiliki dan kesediaan kami untuk memberi khidmat kepada para pelanggan.”

“Bertepatan dengan peranan unik dan penting kami sebagai penyedia infrastruktur sambungan dan digital negara serta pemacu Digital Malaysia, kami bersedia untuk berkhidmat kepada Keluarga Malaysia menerusi penyelesaian komunikasi dan digital kami yang komprehensif.

Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), TM kekal komited untuk terus menyumbang ke arah pembangunan negara melalui telekomunikasi dan digital bagi menyokong aspirasi digital negara termasuklah JENDELA dan MyDIGITAL ke arah memacu negara menuju Digital Malaysia sepenuhnya menjelang tahun 2023,” tambah beliau.

Lawatan hari ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara kedua-dua pihak.