GADGETS
Anthropic didapati tidak bersalah dakwaan langgar hak cipta untuk latih AI
Anthropic menang kes mahkamah atas dakwaan penggunaan kandungan hak cipta untuk latihan AI kerana dianggap sebagai penggunaan adil yang transformatif. -Amanz
ANTHROPIC, syarikat pembangun teknologi AI yang membangunkan perkhidmatan AI seperti Claude, pada Rabu telah memenangi satu kes mahkamah kerana menggunakan kandungan hak cipta daripada kira-kira 7 juta naskhah bahan bacaan sepanjang tahun 2021 sehingga 2024.
Ringkasan AI
- Anthropic menang kes mahkamah atas dakwaan penggunaan kandungan hak cipta untuk latihan AI kerana dianggap sebagai penggunaan adil yang transformatif.
- Syarikat masih berdepan tuduhan mencetak rompak tujuh juta naskhah bahan bacaan dan menyimpannya dalam pusat data.
- Perbicaraan kedua akan diadakan untuk menentukan kesalahan dan hukuman yang sesuai terhadap Anthropic.
Saman ini difailkan pada tahun lepas oleh Andrea Bartz, Charles Graeber, dan Kirk Wallace Johnson yang mendakwa Anthropic bukan sahaja mencetak rompak karya-karya mereka, tetapi menggunakan kandungan tersebut untuk tujuan pembelajaran mesin tanpa pengetahuan mereka.
Hakim William Alsup dari mahkamah Northern District, California mengatakan bahawa keputusan tidak bersalah tersebut diberikan kepada Anthropic kerana kandungan hak cipta yang digunakan, walaupun tanpa kebenaran adalah tertakluk di bawah undang-undang fair use ataupun penggunaan adil, di mana kandungan yang digunakan adalah bersifat transformatif dan tiada plagiat kandungan bulat-bulat dapat diperlihatkan.
Walaupun kemenangan ini dilihat sebagai sesuatu yang besar untuk industri AI dan pembelajaran mesin, Anthropic masih perlu menghadapi satu lagi pertuduhan, iaitu mencetak rompak kira-kira tujuh juta naskhah kandungan bertulis dan menyimpannya di dalam pusat data mereka sendiri.
Hakim tersebut mengatakan bahawa walaupun Anthropic membeli buku-buku yang digunakan untuk pembelajaran mesin kemudian, bukti bahawa mereka memuat turun kandungan cetak rompak dan menggunakannya untuk tujuan tersebut tidak boleh dinafikan.
Beliau mengatakan bahawa satu lagi perbicaraan mahkamah akan diadakan berkenaan kes cetak rompak ini, dan akan membincangkan apakah hukuman setimpal yang boleh dikenakan ke atas syarikat tersebut. -Amanz