Seorang ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' yang direman lapan hari berkaitan cubaan merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berhubung anugerah darjah kebesaran dibebaskan hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan lelaki berusia 54 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 beserta seorang penjamin.

Beliau direman mengikut Seksyen 16, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana salah guna kuasa dengan meminta dan menerima rasuah untuk kepentingan peribadi.

Suspek menyerah diri kepada SPRM pada 30 Mac lalu selepas beberapa jam diarahkan berbuat demikian oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.

Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong. --BERNAMA