MALAYSIA

Anwar ajak rakyat sertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena esok

Bernama 07/10/2025 | 10:42 MYT
Anwar berkata himpunan itu bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama wira dan wirawati yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 8 malam, esok.

Anwar berkata himpunan itu bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama wira dan wirawati yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), baru-baru ini.

"Saya yakin dan percaya bahawa dalam denyut nadi setiap anak Malaysia, tersemat tekad untuk terus memperjuangkan keadilan dan keamanan sejagat.

"Marilah kita berganding bahu dan bergerak sederap, mengangkat suara demi Palestin yang merdeka, bermaruah dan berdaulat. Ketemu esok malam, insya-Allah," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri hari ini memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF dijangka tiba di tanah air 10 malam ini.

Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Kesemua mereka dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye, sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

-- BERNAMA


#Genosid Gaza #Anwar Ibrahim #GSF #Himpunan Solidariti Bersama Gaza