MALAYSIA

Anwar arah pemantauan lebih ketat terhadap pegawai tertinggi kerajaan

Umavathi Ramayah 30/01/2026 | 09:02 MYT
Anwar menyantuni jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Greenwoods, di sini pada Jumaat. - Gambar/ Bernama
GOMBAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kelemahan pentadbiran sering berpunca di peringkat atasan, justeru mengarahkan pemantauan lebih teliti terhadap pegawai tertinggi kerajaan, termasuk menteri.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kelemahan pentadbiran sering berpunca di peringkat atasan, mendesak pemantauan teliti terhadap pegawai tertinggi kerajaan termasuk menteri.
  • Anwar memberi perhatian kepada isu di peringkat bawahan seperti pengurusan gerai, kebersihan, kemasukan dan penggajian pekerja asing yang melanggar peraturan, seraya menekankan perlunya tindakan serius.
  • Beliau memaklumkan arahannya agar tindakan penguatkuasaan yang diumumkan sebelum ini diteruskan untuk memberi kesan positif yang jelas, sambil menekankan pentingnya pelaksanaan undang-undang secara menyeluruh dengan melibatkan semua jentera negara.


"Tapi tentunya kerosakan bermula dari atas sebab itu saya tekankan penguatkuasaan di peringkat atasan KSU (ketua setiausaha), KP (Ketua Pengarah), pengarah-pengarah termasuk Jemaah Menteri lebih harus dipantau lebih teliti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Greenwoods, di sini pada Jumaat.

Pada masa sama, beliau memberi perhatian khusus kepada isu di peringkat bawahan, termasuk pengurusan gerai, kebersihan, serta kemasukan dan penggajian pekerja asing yang tidak mematuhi peraturan.

"Isu pelanggaran peraturan, pekerja asing yang diberi laluan bekerja tanpa mengikut peraturan, ini semua perlu ditangani dengan serius," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan sudah mengarahkan agar tindakan penguatkuasaan yang diumumkan beberapa hari lalu diteruskan sehingga memberikan kesan positif yang jelas.

"Jadi, saya telah kerahkan dan saya mahu tindakan yang kita umumkan beberapa hari lalu diteruskan, sehingga betul-betul ada kesan positif baik bagi rakyat dan negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan dasar perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan semua jentera negara termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat membincangkan isu penguatkuasaan dan memaklumkan beberapa tindakan sudah mula diambil, namun menekankan kerajaan tidak boleh mudah berpuas hati.

"Kita bincang soal penguatkuasaan (dalam Mesyuarat Kabinet) dan saya tahu ada beberapa tindakan sudah mula diambil.

"Tetapi kita tidak boleh berpuas hati. Kita perlu pastikan penguatkuasaan di setiap peringkat," katanya.

Menurut Anwar lagi, kelemahan pelaksanaan bukan hanya berlaku di peringkat Persekutuan, malah turut melibatkan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan, termasuk majlis perbandaran.

"Tindakannya, kebersihannya serta beberapa pelaksanaan dan penguatkuasaan didapati lemah.

"Sebab itu mesti ada gerakan dan rancangan yang menyeluruh, melibatkan semua kekuatan jentera negara, barulah negara ini dapat diperbaiki,” katanya.



#Anwar Ibrahim #kes rasuah #pegawai tinggi kerajaan #skandal rasuah tentera