Skip to main content

Malaysia

Anwar arah program perumahan FELDA disegerakan

Foto Shahir
Anwar mengarahkan pengurusan FELDA supaya lebih proaktif dalam mengenal pasti masalah peneroka dan mendapatkan bantuan kementerian berkaitan tanpa perlu menunggu arahan daripada pihak atasan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Advertisement

BANGI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pelaksanaan program perumahan FELDA disegerakan dan dimulakan tahun ini, tanpa menunggu proses Belanjawan akan datang.

Beliau berkata isu perumahan merupakan antara masalah legasi FELDA yang telah lama tertangguh dan perlu diselesaikan segera demi kebajikan peneroka.

“Masalah yang sudah dihadapi, perumahan itu, harus dilaksanakan segera. Saya minta pelaksanaan itu secepat mungkin, segera,” katanya. 

"Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga Belanjawan (2027) kerana proses berkenaan dikhuatiri menyebabkan pelaksanaan projek tertangguh sehingga tahun depan.

“Kalau kita tunggu bulan Oktober, November baru dilulus, Disember, Januari dan Februari mula kerja, lambat, tak siap. Jadi kita mula sekarang,” tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sesi Ramah Mesra Pengurusan Tertinggi dan Pengurus Felda di Tenara Hotel and Suites, di sini, hari ini.

Anwar berkata peruntukan awal perlu disegerakan bagi membolehkan kerja berkaitan perumahan dimulakan dalam tempoh terdekat, tertakluk kepada proses dan kelulusan yang ditetapkan.

Menurutnya, sekitar RM50 juta turut disebut sebagai peruntukan awal bagi menangani keperluan asas perumahan FELDA yang telah dikenal pasti.

Antara kerja yang perlu diberi perhatian segera termasuk pembaikan bumbung, tandas, dinding rumah dan parit di kawasan FELDA.

“Kalau soal bumbung, tandas, dinding rumah dan parit, tak payah tunggu. Laksanakan segera untuk membantu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengarahkan pengurusan FELDA supaya lebih proaktif dalam mengenal pasti masalah peneroka dan mendapatkan bantuan kementerian berkaitan tanpa perlu menunggu arahan daripada pihak atasan.

Beliau berkata semua kementerian yang berkaitan perlu bekerjasama membantu FELDA, termasuk dalam aspek pendidikan, pembangunan luar bandar, sains serta kemudahan lain untuk manfaat generasi FELDA.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, kelemahan pengurusan dan tata kelola FELDA perlu diperbetulkan tanpa mengira latar belakang individu atau pihak yang terlibat.

Katanya, masalah yang telah dikenal pasti tidak boleh dianggap kecil kerana ia merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diselesaikan secara berkesan.

Beliau juga mahu tujuh perkara strategik FELDA yang telah diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan lebih pantas dan tidak sekadar berada pada peringkat pengumuman.

Anwar berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap masalah legasi FELDA termasuk isu perumahan, tanah dan pembangunan yang melibatkan peneroka.

Beliau menegaskan matlamat utama kerajaan ialah memastikan kemudahan dan program yang disediakan dapat memberi manfaat secara langsung kepada peneroka serta generasi FELDA.

“Saya akan pastikan pelaksanaan program asas untuk perumahan itu disegerakan, mula tahun ini,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement