MALAYSIA

Anwar bertemu peneraju industri pertahanan, tenaga Itali

Harits Asyraf Hasnan 02/07/2025 | 10:28 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi libat urus bersama syarikat utama Itali seperti Fincantieri, Leonardo dan ENI bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor pertahanan dan tenaga. - Gambar/ PMO
ROM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari kedua lawatan rasmi ke Itali dengan mengadakan sesi libat urus secara langsung bersama peneraju industri dan perniagaan utama negara itu.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi libat urus bersama syarikat utama Itali seperti Fincantieri, Leonardo dan ENI bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor pertahanan dan tenaga.
  • Beliau menekankan kepentingan pendekatan antara kerajaan (G2G) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab MRO serantau serta menyeru agar komitmen pelaburan disusuli dengan tindakan konkrit.
  • Delegasi Malaysia turut disertai wakil kementerian dan agensi berkaitan bagi menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh hubungan dua hala dengan Itali.


Anwar berkata pertemuan bersama dua syarikat gergasi pertahanan Itali, Fincantieri dan Leonardo, yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 tempoh hari, telah memperkukuh prospek kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.

Pertemuan bersama Fincantieri dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pierroberto Folgiero, manakala Leonardo diwakili oleh Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Kempen Strategik, Tomasso Pani.

“Saya tekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Dalam sektor tenaga, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan syarikat tenaga Itali, ENI, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Claudio Descalzi, bersama Tan Sri Tengku Taufik selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS.

Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan berkenaan kerjasama sedia ada selain berusaha meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama.

“Saya manfaatkan sesi ini untuk menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan diyakini,” katanya sambil menyeru agar segala komitmen yang telah dizahirkan disusuli dengan tindakan konkrit agar pelaburan yang dirancang dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan.

Delegasi Malaysia turut disertai wakil kementerian dan agensi berkaitan bagi memperkukuh hubungan dua hala serta menarik pelaburan berkualiti dari Itali.



#Anwar Ibrahim #Itali #lawatan kerja #Perdana Menteri