MANILA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr, yang lebih dikenali sebagai "Bong Bong", di Istana Malacanang hari ini, pada permulaan lawatan rasmi dua hari beliau ke Filipina.

Setibanya di istana yang juga pejabat rasmi Presiden Marcos, Anwar yang memakai baju batik dan bersongkok diberikan sambutan permaidani merah oleh pemimpin Filipina itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan wanita pertama Filipina, Marie Louise Araneta Marcos.

Setelah lagu kebangsaan Malaysia Negaraku dan Filipina, Lupang Hinirang (Tanah Terpilih) dimainkan diikuti 19 das tembakan hormat, Anwar dengan diiringi Marcos memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi 165 angkatan tentera Filipina.

Perdana Menteri kemudiannya diperkenalkan kepada barisan anggota Kabinet Filipina.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual mesra bersama Presiden Filipina Ferdinand R Marcos Jr ketika tiba pada lawatan rasmi dua hari ke Filipina di Istana Malacanang hari ini. - Foto BERNAMA

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Kedua-dua pemimpin akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai perkara melibatkan hal ehwal perhubungan kedua-dua negara, sebelum mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat berkenaan.

Malam ini, Marcos akan menjadi tuan rumah kepada Anwar dan delegasi Malaysia sempena majlis makan malam rasmi di Istana Malacanang.

Esok, Anwar dijangka melawat Universiti Filipina untuk menyampaikan syarahan umum bertajuk "30 Tahun Selepas Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat Asean ("30 Years after Asia's Renaissance: Strategic Takeaways for Asean").

Beliau juga akan menerima anugerah ijazah Doktor Kehormat daripada senat universiti itu dan akan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Filipina.

Perdana Menteri dijangka berlepas pulang ke tanah air lewat petang Khamis.

-- BERNAMA