Anwar doakan Salahuddin segera sembuh

Sinar Harian
Julai 23, 2023 09:41 MYT
Salahuddin yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - Gambar fail
GUA MUSANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub segera sembuh selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan dalam otak.
Anwar berkata, setakat ini beliau dimaklumkan tahap kesihatan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu terkawal.
"Kita doakan semoga semuanya selamat," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Ramah Mesra Warga Felda di Masjid Al-Ghufran, Felda Chiku 5 di sini.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan Salahuddin yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan pihaknya akan melawat Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai pada Ahad bagi mengetahui dengan lebih lanjut perkembangannya. - Sinar Harian
#Salahuddin Ayub #tahap kesihatan #Anwar Ibrahim #pendarahan otak