MALAYSIA

Anwar harap Zoo Johor terus diperkasakan sebagai pusat rekreasi

Bernama 01/02/2026 | 12:46 MYT
Anwar menyuarakan harapan itu ketika mengunjungi zoo tertua di Malaysia itu petang Ahad selepas tiba di Johor Bahru menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3). - Facebook Anwar Ibrahim
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Zoo Johor terus diperkasakan sebagai pusat rekreasi, pendidikan dan warisan negeri yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Beliau menyuarakan harapan itu ketika mengunjungi zoo tertua di Malaysia itu petang tadi selepas tiba di sini dari ibu negara menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3).

Menurut hantaran Facebook, Anwar turut beramah mesra serta menyantuni para pengunjung selain menerima penerangan mengenai perkembangan semasa zoo tersebut daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman.

Terdahulu Perdana Menteri menerusi hantaran Facebook berasingan memaklumkan beliau memanfaatkan cuti panjang sempena Hari Wilayah dan Thaipusam dengan meninjau operasi ETS3 dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

-- BERNAMA


#Zoo Johor #Anwar Ibrahim #Johor Bahru #rekreasi #ETS3