Anwar Ibrahim menghadap Agong esok

Astro Awani
Februari 23, 2020 13:41 MYT
Anwar Ibrahim mendengar kuliah yang disampaikan Wan Salim Wan Noor di kediamannya pada Ahad. - Foto Instagram Yusmadi Yusoff
KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur esok.
Menurut setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, pertemuan itu dijadual diadakan pada pukul 2 petang.
"Ia sudah dirancang lebih awal," kata Farhash seperti dilaporkan portal Malaysiakini.
Anwar yang disebut-sebut sebagai pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang berhimpun bersama penyokong-penyokongnya di kediamannya di Segambut.
Turut diadakan majlis bacaan Yassin dan doa selamat serta kuliah yang diketuai oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Noor.
BACA: Zahid Hamidi, Hadi Awang sertai kem Azmin Ali di Hotel Sheraton
BACA: 29 kenderaan VIP meninggalkan Istana Negara
Pada petang dilaporkan seramai enam pemimpin parti politik mengadap Yang di-Pertuan Agong yang difahamkan untuk menjelaskan mengenai perkembangan semasa politik dalam negara.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat oleh mana-mana parti politik mengenai perkembangan terbaharu itu.
#Anwar Ibrahim #Presiden PKR #mengadap Agong #Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah