Pemimpin-pemimpin parti politik seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta lain-lain pemimpin kini berada di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Turut berada di hotel sama ialah beberapa Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Hotel berkenaan pada awalnya merupakan lokasi dimana mesyuarat antara penyokong-penyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berlangsung pada pagi ini.

Kawalan ketat turut ditingkatkan oleh pihak polis.



Wartawan Astro AWANI kini berada di hotel berkenaan bagi meninjau perkembangan politik tanah air yang semakin mencetuskan tanda tanya.

Pada Ahad, suhu politik Malaysia semakin meningkat panas apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan tertutup dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Dalam masa sama, sekumpulan pemimpin dari kem Azmin juga mengadakan mesyuarat di Hotel Sheraton yang terletak tidak jauh dari ibu pejabat Bersatu.

Antara pemimpin berkenaan yang hadir ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

GPS juga mengadakan mesyuarat tergempar di Kuala Lumpur hari ini.

Astro AWANI difahamkan, kesemua Ahli Parlimen GPS yang diketuai Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhimpun di sebuah hotel mewah di ibu negara bagi membincangkan 'agenda besar'

Di celah-celah mesyuarat tergempar dua parti politik yang memerintah itu, parti pembangkang, pemimpin parti UMNO juga mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

UMNO dan Pas juga dilaporkan menghadiri pemukiman di kemudahan latihan UMNO di Janda Baik, Pahang pada Sabtu dan berakhir hari ini.

Kesemua mesyuarat yang berlaku pada Sabtu dan Ahad mencetuskan spekulasi apakah akan berlaku pembentukan kerajaan baharu.

Pada lewat petang Ahad, sekurang-kurangnya 29 buah kenderaan golongan kenamaan (VIP) pula telah meninggalkan perkarangan Istana Negara.

Kesemua kenderaan jenis Proton Perdana dan Toyota Alphard itu dilihat keluar dari jam 7.15 dan 7.27 malam selepas hampir dua jam berada di dalam Istana Negara.

Sebelum itu, Setiausaha Agong UMNO, Tan Sri Annuar Musah mengesahkan Ahmad Zahid menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara,.

Selain Ahmad Zahid, lima pemimpin parti politik lain juga mengadap Yang di-Pertuan Agong yang difahamkan untuk menjelaskan mengenai perkembangan semasa politik dalam negara.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat oleh mana-mana parti politik mengenai perkembangan terbaharu itu.

Semua pemimpin mengunci mulut setiap kali ditanya oleh wartawan mengenai pertemuan yang berlangsung.
BACA: Apa maksud 5 mesyuarat politik diadakan serentak hari ini?

BACA: Annuar Musa sahkan Presiden UMNO ke Istana Negara


Isu pembentukan kerajaan baharu menjadi semakin hangat susulan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Jumaat lalu.

Dalam mesyuarat itu, semua pemimpin parti komponen PH sepakat bahawa Dr Mahathir akan meletak jawatan selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Dr Mahathir memaklumlakan, beliau akan memutuskan tarikh peletakan jawatannya sendiri.

Ketika ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan penyokong-penyokongnya di kediaman beliau di Segambut, Kuala Lumpur.
BACA: 29 kenderaan VIP meninggalkan Istana Negara