Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kelebihan Cukai Keuntungan Modal atau Capital Gains Tax (CGT) berbanding pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April 2015.

Semasa membahaskan Bajet 2015, Anwar menjelaskan beberapa laporan awal termasuk jumlah isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM3,000 sebulan menjadi landasan kepada hujahnya.

"Saya menganggarkan pengenalan CGT akan berjaya mengutip cukai permulaan dalam tahun 2015 sebanyak RM3 bilion. Sedangkan pengenalan GST akan menjadikan beban cukai lebih tinggi berbanding pendapatan.

"Keghairahan kerajaan melaksanakan GST perlu dipersoal," katanya.

Bagaimanapun kata Anwar, walaupun hasil kutipan CGT juga dilihat tidak setinggi GST namun ia disifatkan lebih adil sekali gus memberi lebih kemudahan kepada golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata, tindakan Pakatan Rakyat untuk mencadangkan CGT bagi menggantikan GST adalah satu tindakan yang akan memberikan impak negatif kepada ekonomi negara.

Jelas Najib, langkah kerajaan untuk meningkatkan kutipan cukai menerusi pelaksanaan GST adalah betul dalam usaha negara untuk menjadi negara maju.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mencelah menjelaskan, penerangan Anwar mengenai pelaksanaan CGT juga dilihat sistem pemilikan aset kewangan yang lebih adil kepada pemilik yang disifatkan kaya raya.

Anwar yang menjawab soalan Rafizi memberitahu, soal paling penting yang dinaikkan Pakatan Rakyat adalah mengenai isu prinsip dan pendekatan asas yang memberi keutamaan kepada golongan miskin.

"Di sinilah pendekatan belanjawan Pakatan Rakyat 2015 yang mengenal pasti kepincangan yang bakal dihadapi sebelum sebarang pelaksanaan ekonomi dapat direalisasikan.

"Sistem cukai boleh namun perlu lebih mesra dan bukan bermakna yang kaya kekal kaya dan golongan bawahan menanggung beban," ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengambil contoh pendekatan terbaharu Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang memberi pendekatan peruntukan pembangunan negeri.

Belanjawan Malaysia 2015 Pakatan Rakyat menyatakan, hanya keuntungan daripada jualan rumah dalam tempoh lima tahun pembelian dikenakan cukai di Malaysia kini.

Selain itu, dalam belanjawan berkenaan, Pakatan Rakyat turut mencadangkan kerajaan mengenakan Cukai Warisan Harta ke atas pemindahan aset di kalangan golongan kaya.

Melalui cukai itu, sebarang pemindahan aset, baik secara pemberian hadiah atau akibat kematian, akan dikenakan Cukai Warisan Harta.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mencelah dan memberitahu CGT tidak menghapuskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) namun tidak melaksanakan GST.

Terdahulu Khalid turut menempelak Ahli Parlimen Padang Besar (BN), Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mengambil contoh pelbagai cukai dikenakan di Pulau Pinang termasuk di hotel dan pembelaan ikan dalam sangkar.

"Bila terlalu percaya propaganda UMNO, (merujuk keadaaan di Pulau Pinang), akhirnya tertipu dengan penipuan 'cybertrooper' UMNO sendiri," jelasnya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Baling (BN), Datuk Azeez Abdul Rahim bangun dan mahu Khalid tidak melibatkan isu UMNO di dalam celahannya.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar turut mencelah dan bertanya isu pergolakan Menteri Besar Selangor yang dilihat menyusahkan rakyat negeri itu sendiri.

Anwar mengakhiri pembentangannya dengan cadangan mewujudkan 'Budget Oversight Committee’ yang dianggotai kerajaan dan pembangkang dengan kuasa untuk memastikan setiap yang dijanjikan kerajaan, dikotakan dengan betul dan telus.

"Ini penting bagi memastikan tatakelola yang baik dapat diterapkan. Berdosa kita sekiranya kita mewariskan bebanan hutang dan ekonomi yang rosak kepada generasi akan datang," jelasnya.