KUALA LUMPUR: Negara-negara kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS) tidak boleh menentukan pendirian Malaysia dalam menyatakan sokongan berterusan terhadap rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman zionis Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketegasan tersebut disuarakan di depan Presiden AS, Joe Biden pada sidang akhir Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, baru-baru ini.

Jelas Anwar, beliau menggunakan setiap ruang yang ada pada pertemuan tersebut untuk membangkitkan isu penindasan berterusan terhadap rakyat Gaza.

"Dalam sidang akhir dan kebetulan kedudukan Malaysia berdepan dengan Joe Biden dan sebelah kanan ialah Setiausaha Negara AS, Antony Blinken... saya tiada pilihan dan menyuara dengan tegas bahawa ada permasalahan.

"...manakala kita diminta mengutuk Rusia dalam soal Ukraine tetapi membisu bila pembunuhan kejam dan keganasan (terhadap rakyat Palestin).

"Saya sebut perkataan yang agak penting, jangan lagi orang barat menganggap hegemoni kolonial menentukan dasar dan bentuk tindakan kita.

"Maka saya menyatakan mereka tidak boleh memaksa untuk menentukan pendirian kita, di situ saya nyatakan kita mesti sekurang-kurangnya menghentikan serangan sekarang - 'end stop now'," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Perdana Menteri menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai apakah hasil yang memanfaatkan negara sepanjang lawatan ke Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi APEC di AS, baru-baru ini.

Menjawab lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendirian tegas Malaysia mengutuk serangan Israel terhadap Gaza tidak menjejaskan ekonomi dan pelaburan syarikat asing termasuk dari AS.

Jelas beliau, pelabur utama AS seperti Google Inc dan Microsoft Inc masih memberi keutamaan kepada kestabilan politik dan dasar ekonomi kerajaan yang jelas.

"Selepas saya mengeluarkan kenyataan itu (ketegasan Malaysia menyokong Palestin), di sini juga ada suara-suara kebimbangan, takut ia menerima kesan kepada kedudukan ekonomi negara.

"Tentutanya sebagai orang yang bertanggungjawab dalam negara dan pertumbuhan ekonomi, kita juga mengambil kira dan prihatin tentang permasalahan ini," ujar beliau.

Perdana Menteri menambah, setiap ruang dan peluang di persidangan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh wakil kerajaan termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul  Aziz untuk menjelaskan komitmen Malaysia semasa pertemuan dengan pelabur asing, yang membawa hasil pelaburan langsung asing berjumlah RM63.02 bilion.