Anwar lawat Galeri Karyawan Nordin Ahmad, semarak warisan seni di sekolah

Anwar dibawa meninjau ruang pameran interaktif yang menampilkan foto arkib, memorabilia dan bahan digital berkaitan Allahyarham Nordin Ahmad. - Gambar/ Bernama
BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir yang diwujudkan bagi menghargai sumbangan pelakon dan pengarah legenda kelahiran daerah ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim melawat Galeri Karyawan Nordin Ahmad di SK Permatang Pasir untuk menghargai sumbangan pelakon legenda Nordin Ahmad.
- Galeri ini dibuka pada Januari 2025 dan merupakan medium pendidikan untuk memupuk rasa bangga terhadap warisan budaya negara dalam kalangan pelajar.
- Program Levelling Up Seberang Perai telah menyumbang RM3.9 juta kepada 65 penerima manfaat dengan 94 aktiviti dilaksanakan dalam 18 bidang tumpuan, termasuk pemulihan warisan dan pendidikan alam sekitar.
Disokong melalui Program Levelling Up Seberang Perai (LUSP), penubuhan galeri berkenaan bukan sahaja bertujuan memperingati tokoh seni tempatan, malah menjadi medium pendidikan untuk memupuk rasa bangga terhadap warisan budaya negara dalam kalangan pelajar.
Dibuka pada Januari 2025, Galeri Karyawan Nordin Ahmad mengabadikan kehidupan dan karya Allahyarham Nordin Ahmad, anak jati Permatang Pauh yang dikenali melalui lakonan ikonik dalam filem Semerah Padi (1956) dan Hang Jebat (1961).
Melalui Program Geran Pekan Seberang Perai di bawah LUSP, dengan sokongan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang, sebahagian bangunan bersejarah SK Permatang Pasir yang dibina pada 1888 dan pernah menjadi tempat beliau bersekolah diubah suai menjadi galeri berkenaan.
Pengerusi Persatuan Karyawan Pulau Pinang Datuk Dr Sohaimi Abdul Aziz berkata pembinaan galeri itu sebagai bukti bahawa budaya boleh hidup di ruang seharian seperti sekolah, bilik darjah dan dewan komuniti.
"Yang penting ia terus digunakan, dikunjungi dan dibincangkan. Dengan sokongan di bawah LUSP, kami dapat mewujudkan rumah kekal bagi kisah Nordin Ahmad di Permatang Pauh, tempat asal perjalanan beliau," katanya.
Lawatan Perdana Menteri itu dianggap simbolik kepada komitmen kerajaan memperkasakan pendidikan berteraskan seni, budaya dan nilai tempatan sebagai sebahagian daripada pembangunan insan yang seimbang.
Setakat ini, LUSP telah menyalurkan geran berjumlah RM3.9 juta kepada 65 penerima manfaat, dengan 94 aktiviti dilaksanakan dalam 18 bidang tumpuan termasuk pemulihan warisan, ekonomi kitaran, pemerkasaan wanita, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta pendidikan alam sekitar.
Program itu turut menjana pelaburan bersama bernilai RM4 juta melalui kerjasama rakan tempatan dan pembiayaan padanan yang mengukuhkan rasa pemilikan dan sokongan jangka panjang dalam kalangan komuniti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


