MALAYSIA
Anwar lawat Timor-Leste, perkukuh sokongan aspirasi sertai ASEAN

Lawatan bersejarah ini merupakan kunjungan pertama seorang Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun. - Gambar fail/Bernama
DILI (TIMOR-LESTE): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memainkan peranan penting dalam mengangkat aspirasi Timor-Leste untuk menyertai ASEAN, akan memulakan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu selama dua hari bermula esok (23 Sept).
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste bermula 23 September, lawatan pertama oleh PM Malaysia dalam 22 tahun, bagi memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong penyertaan penuh negara itu ke ASEAN.
- Agenda lawatan termasuk ucaptama di Parlimen Nasional, mesyuarat dua hala dengan PM Xanana Gusmao, pertukaran MoU, serta pelancaran projek Pusat Konvensyen Antarabangsa di Dili, selain sesi bersama komuniti rakyat Malaysia.
- Lawatan ini menegaskan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam merealisasikan integrasi Timor-Leste ke ASEAN, di samping mengukuhkan kerjasama ekonomi dan hubungan rakyat-ke-rakyat.
Mengiringi beliau ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, selain pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar Negeri.
Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh dalam sidang media bersama Bernama dan RTM berkata bahawa agenda rasmi Anwar akan dimulakan dengan istiadat sambutan negara di Istana Presiden, diikuti kunjungan hormat terhadap Presiden Ramos-Horta.
Pada sebelah malam, Anwar akan menghadiri jamuan rasmi yang dianjurkan bersama oleh Presiden dan Perdana Menteri Timor-Leste di Lahane Palace.
Keesokannya, beliau dijadual menyampaikan ucaptama di Parlimen Nasional, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Gusmao di Istana Kerajaan. Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan mengadakan sidang media bersama.
Selain itu, Anwar akan menghadiri sesi ramah mesra bersama komuniti rakyat Malaysia dan alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), menyampaikan syarahan dalam siri Presidential Lecture di Istana Presiden serta melancarkan tapak projek Pusat Konvensyen Antarabangsa di Dili yang bakal dibangunkan.
Amarjit menyifatkan lawatan ini sebagai amat signifikan kerana bukan sahaja memperkukuh hubungan erat kedua-dua negara, tetapi juga menyerlahkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam merealisasikan penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam blok serantau itu.
"Malaysia konsisten menyokong Timor-Leste sejak sebelum kemerdekaannya pada 2002. Lawatan ini melambangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk bersama keluarga ASEAN," katanya.
Nilai dagangan dua hala Malaysia-Timor-Leste pada 2024 mencecah RM85 juta pada tahun lepas, dengan kira-kira 250 syarikat Malaysia beroperasi di negara itu dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan perdagangan.
Setakat ini, kira-kira 150 rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan profesional, usahawan dan pekerja mahir berdaftar di Kedutaan Malaysia di Dili.
Hubungan rakyat dengan rakyat turut diperkukuh melalui kemudahan perjalanan. Sejak 16 Ogos lepas, rakyat Malaysia menikmati kemudahan bebas visa ke Timor-Leste, sejajar dengan semangat integrasi ASEAN yang memudahkan pergerakan antara negara anggota.
Timor-Leste memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011. Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, para pemimpin bersetuju menerima negara itu sebagai anggota ke-11 blok berkenaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
Negara yang mencapai kemerdekaan rasmi pada 20 Mei 2002 itu kini memberi tumpuan kepada usaha pembinaan kapasiti, pembangunan ekonomi dan diplomasi serantau sebagai persediaan untuk integrasi penuh dalam ASEAN.
Dengan populasi hampir 1.4 juta orang, Timor-Leste sedang berusaha memanfaatkan sumber semula jadi serta sektor pelancongan, kopi dan perikanan bagi mengukuhkan daya tahan ekonominya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami