Ringkasan AI
- Perdana Menteri meluluskan peruntukan khas RM30 juta untuk penurapan semula 600 jalan di kawasan perumahan seluruh Perak.
- Peruntukan ini menggunakan penjimatan KPKT dan kerja penurapan dijangka bermula bulan depan serta siap sebelum Hari Raya tahun depan.
- Kerajaan MADANI turut memperkenalkan pelbagai inisiatif kebajikan dan DAP menegaskan pendirian tegas menolak rasuah serta penyelewengan.
IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan khas RM30 juta bagi kerja-kerja penurapan semula 600 jalan di kawasan perumahan di seluruh Perak, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata peruntukan menerusi inisiatif Sentuhan Kasih Istimewa YAB PMX itu menggunakan hasil penjimatan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kini disalurkan semula demi meningkatkan kemudahan serta keselesaan rakyat.
“Bersempena dengan Konvensyen DAP Negeri Perak, saya mewakili Perdana Menteri mengumumkan peruntukan khas RM30 juta untuk kerja-kerja penurapan jalan di kawasan perumahan di seluruh negeri.
“Sekurang-kurangnya 600 jalan dapat diturap menerusi peruntukan ini. Kerja-kerja penurapan akan bermula bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya sebelum hari Raya tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak Ke-24 yang dirasmikan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di sini hari ini.
Konvensyen itu dihadiri lebih 1,000 perwakilan.
Nga yang juga Pengerusi DAP Perak berkata komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga kesejahteraan rakyat turut dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan 2027 yang memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40.
Beliau berkata antara inisiatif berkenaan ialah pengecualian cukai pendapatan individu sebanyak RM12,000 bagi pendapatan bercukai tertentu serta bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM200 kepada 22 juta penerima.
Dalam pada itu, Nga menegaskan bahawa DAP tidak akan berkompromi dalam isu rasuah dan penyelewengan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau menggesa semua pihak supaya bersatu menolak amalan rasuah yang menurutnya boleh menjejaskan masa depan generasi muda.
Nga turut memuji keberanian seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang menyuarakan kebimbangan mengenai isu rasuah di negara ini.
Beliau yang juga alumni UM berkata pemimpin perlu menunjukkan teladan yang baik kepada generasi muda menerusi pendirian dan tindakan mereka.
-- BERNAMA