MALAYSIA

Anwar pengerusikan mesyuarat Kabinet sejurus tiba dari Turkiye

Bernama 09/01/2026 | 11:15 MYT
Anwar mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. - Gambar/ Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air hari ini selepas mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye, semalam.

Sejurus tiba di tanah air, Anwar terus ke pejabat bagi mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri.

"Alhamdulillah, selamat tiba ke tanah air usai lawatan rasmi di Republik Turkiye. Saya kemudiannya ke pejabat untuk mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri. Untuk Malaysia!," menurut hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Lawatan rasmi atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang bermula 6 Jan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan Malaysia dan Turkiye yang telah lama terjalin.

Sepanjang lawatan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengadakan pertemuan dengan Erdogan dan mempengerusikan bersama Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) Malaysia-Turkiye yang pertama di Ankara.

Lawatan rasmi Anwar ke Turkiye kali ini, turut mencatat detik bermakna apabila beliau dianugerahkan pingat Order of the Republic oleh Erdogan sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau mengukuhkan hubungan Malaysia-Turkiye.

-- BERNAMA


#Anwar Ibrahim #Turkiye #mesyuarat Kabinet