Anwar perjelas mengapa lambat ulas isu permohonan tanah RM100 juta oleh Najib

Nuzuluddin Abdul Razak
November 20, 2021 07:27 MYT
Kata Anwar beliau tidak beri sebarang komen awal berhubung isu berkenaan kerana bimbang ia sekadar khabar angin - Foto Astro AWANI
KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu memberi maklum balas pada isu yang belum sah atau berlandaskan kepada khabar angin.
Itu penjelasan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas pertanyaan media mengapa beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan seminggu sebelum isu permohonan tanah bernilai RM100 juta oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibangkitkan di Parlimen Khamis lalu.
“Sebelum itu perkara berkenaan belum disahkan kepada pihak kita, malah belum diketahui secara jelas dan ada yang mengatakan ianya hanya khabar angin, kita tidak memberi maklum balas pada khabar angin.
“Sehinggalah Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan bagaimana isu hadiah itu yang kemudian disahkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Jika ditanya kenapa saya tidak memberi sebarang komen sebelum itu, tanya dahulu siapa yang tahu sebelum ini yang jelas adalah ahli kabinet yang tidak memaklumkan kepada saya,” katanya selepas Majlis Peluncuran Jentera Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat Sarawak (PKR) di Imperial Hotel pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga maklum isu tersebut dijadikan polemik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sedang berjalan.
“Ramai yang beritahu peruntukan tersebut tujuannya untuk pilihan raya yang, namun perkara itu telah dijelaskan oleh Menteri Kewangan dan beliau juga mengesahkan hari berkenaan (Khamis) bahawa perkara ini sedang dibincangkan dan diteliti oleh Ahli Kabinet,” katanya.
Terdahulu, pada Jumaat, Najib menolak tawaran peruntukan tanah bernilai RM100 juta oleh kerajaan kepadanya dan tindakan itu dibuat selepas isu berkenaan dipolemik oleh pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
#PRN Sarawak #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Datuk Seri Najib Tun Razak #un Dr Mahathir Mohamad