MALAYSIA
Anwar perkasa usaha diplomatik Malaysia pada hari kedua di Tianjin

Anwar bersama isteri, Dr Wan Azizah ketika menghadiri Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Pusat Konvensyen Tianjin Meijiang (TMCC). - Foto BERNAMA
TIANJIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfokuskan kepada usaha memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia serta mengulangi semula komitmen negara terhadap multilateralisme, pada hari kedua lawatan kerja beliau di sini.
Program beliau hari ini bermula dengan penyampaian syarahan umum bertajuk "Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia", di Universiti Tianjin iaitu universiti moden tertua di China.
Ditubuhkan pada tahun 1895, Universiti Tianjin terkenal dengan program dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan sains.
Universiti itu juga mempunyai program berkembar dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam bidang kejuruteraan kimia.Sebanyak 500 orang pelajar, ahli akademik dan wakil kumpulan pemikir, dijangka hadir ke syarahan itu.
Selepas syarahan umum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengadakan pertemuan perniagaan secara bersemuka dengan dua syarikat terkemuka China iaitu Rianlon Corporation dan China Communications Construction Company Limited (CCCC)
Rianlon Corporation yang beribu pejabat di Tianjin, merupakan peneraju global dalam bidang bahan tambahan polimer, membekalkan bahan termaju yang menyokong pelbagai industri termasuk automotif dan elektronik.
Sementara itu, CCCC merupakan penyedia perkhidmatan infrastruktur berskala besar bertaraf global terkemuka.
Syarikat tersenarai di Bursa Hong Kong dan termasuk dalam senarai Fortune Global 500 itu merupakan kontraktor utama bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Malaysia, melalui anak syarikat tidak langsungnya, China Communication ECRL Sdn Bhd.
Kemuncak lawatan Perdana Menteri di Tianjin itu ialah penyertaan di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025, selepas dijemput China selaku selaku pengerusi semasa, untuk menyampaikan ucapan pada SCP Plus Summit pada 4 petang.
Sidang Kemuncak yang diadakan di Pusat Konvensyen Meijian, Tianjin, akan dihadiri lebih daripada 20 pemimpin dunia termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Walaupun Malaysia bukan negara pemerhati atau rakan dialog kepada SCO, namun kehadiran Anwar di sidang kemuncak itu, menyerlahkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati dalam hal ehwal global.
Ia juga merupakan manifestasi kepada hubungan erat dan kepercayaan strategik antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Perdana Menteri dan delegasinya selepas itu akan berlepas ke Beijing pada malam bagi meneruskan bahagian kedua lawatan kerja empat hari beliau, yang melibatkan pertemuan penting dengan pemimpin tertinggi China dan tokoh industri utama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami