KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk menghalang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada mengeluarkan, mengulangi dan menerbitkan kenyataan yang memfitnah Perdana Menteri itu di media sosial, laman web dan mana-mana platform lain.

Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar berkata Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan Pengerusi Pakatan Harapan itu pada prosiding semalam.

"Perintah injunksi itu dikeluarkan bagi menghalang defendan (Muhammad Sanusi), kakitangan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan-kenyataan serupa yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan plaintif (Anwar) sama ada secara langsung atau dengan sindiran dalam mana-mana saluran media sosial defendan, laman web dan mana-mana platform lain.

"Defendan juga harus mematuhi perintah injunksi ex-parte ini dengan serta-merta selepas penyampaian perintah ini kepada defendan," kata Nair ketika dihubungi hari ini.

Anwar, 75, selaku plaintif mendakwa, kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15  (PRU15) pada 19 November lalu.

Sehubungan itu, beliau memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang Sanusi  daripada terus mengungkap, mengarang dan menerbitkan kenyataan serupa dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Muhammad Sanusi dalam penyataan pembelaannya yang difailkan pada 13 Februari lalu menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat pada siri jelajah tersebut adalah berdasarkan fakta benar bahawa Anwar disabitkan bersalah atas jenayah salah laku sebagaimana yang dinyatakan dalam penghakiman yang dibacakan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Muhammad Sanusi menegaskan beliau tidak pernah berniat jahat untuk menghasut orang ramai dengan cara memfitnah plaintif dengan perkara yang tidak benar sebaliknya sekadar memberikan kritikan terhadap plaintif berdasarkan fakta dan latar belakang plaintif.