[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

Anwar sambut kemajuan rundingan gencatan senjata Gaza, seru usaha damai diperkukuh

Astro Awani 09/10/2025 | 03:40 MYT
Anwar tegaskan solidariti penuh terhadap rakyat Palestin dalam tuntutan keadilan, maruah dan kenegaraan, serta seru semua pihak manfaatkan peluang damai. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik laporan kemajuan dalam rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, sambil menyifatkannya sebagai “sinar harapan” selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan di Gaza.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Malaysia menyifatkan rundingan damai Israel-Hamas sebagai "sinar harapan" selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan.
  • Anwar tegaskan solidariti penuh terhadap rakyat Palestin dalam tuntutan keadilan, maruah dan kenegaraan, serta seru semua pihak manfaatkan peluang damai.
  • Malaysia komited menyokong proses damai dan bantuan kemanusiaan, susulan kemajuan rundingan yang difasilitasi AS, Qatar, Mesir dan Turkiye.


Dalam catatan di akaun X miliknya, Anwar menegaskan bahawa setiap usaha untuk menamatkan keganasan dan melindungi nyawa orang awam mesti dilaksanakan dengan keikhlasan dan segera.

“Perkembangan ini menawarkan sedikit harapan selepas berbulan-bulan penderitaan yang tidak tertanggung dan kemusnahan yang dahsyat.

"Setiap usaha yang boleh membawa kepada pengakhiran keganasan dan melindungi nyawa orang awam mesti diteruskan dengan keikhlasan dan segera,” katanya.

Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia yang teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut keadilan, maruah dan penubuhan negara yang berdaulat.

Beliau menyeru semua pihak yang terlibat agar memanfaatkan peluang ini untuk bergerak ke arah keamanan menyeluruh dan berkekalan.

“Malaysia berdiri penuh solidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk keadilan, maruah dan kenegaraan.

"Saya menggesa semua pihak berkepentingan agar merebut peluang ini untuk menuju ke arah keamanan yang menyeluruh dan berkekalan,” tambahnya.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Kenyataan itu hadir ketika rundingan damai yang difasilitasi oleh Amerika Syarikat (AS), Qatar, Mesir dan Turkiye menunjukkan kemajuan, dengan Hamas dilaporkan telah menyerahkan senarai tahanan untuk pertukaran dan bersetuju dengan fasa pertama pelan damai 20 perkara yang dikemukakan oleh Presiden AS Donald Trump.

Malaysia sebelum ini turut mengecam tindakan Israel memintas misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan telah menggesa pembebasan segera aktivis Malaysia yang ditahan.

Anwar menegaskan bahawa kerajaan Madani akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha diplomatik dan kemanusiaan di rantau tersebut.





#Anwar Ibrahim #gencatan senjata #Gaza #Israel