PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru generasi muda menghayati kata-kata pujangga dan tokoh nasionalis Melayu, Burhanuddin Al-Helmy mengenai makna kemerdekaan dan pembinaan negara.
Ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan ke-69, Anwar sekali lagi memetik ungkapan bekas Presiden Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) itu yang disifatkannya amat mengesankan.
“Mari kita hadam apa kata Burhanuddin Al-Helmi? Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka. Bersatu-padulah segenap baka, membela hak keadilan pusaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut Anwar, bait berkenaan membawa pengertian besar mengenai keperluan membina semula negara dengan menanam semangat kemerdekaan dalam jiwa dan pemikiran rakyat.
Katanya, seruan untuk bersatu itu tidak terbatas kepada kaum, daerah atau wilayah tertentu, sebaliknya merangkumi seluruh rakyat Malaysia.
“Makna segenap (ialah) orang Melayu tentunya majoriti sebagai induk dan bumiputera, tetapi semua suku kaum harus terus bersatu memainkan peranan ini.
“Untuk apa? Untuk membela hak keadilan pusaka. Anak-anak generasi muda harus hafal bait ini,” katanya.
Mengimbau sejarah Melaka, Anwar berkata, kejatuhan empayar Melayu Islam itu bukan sahaja akibat serangan Portugis menggunakan persenjataan lebih moden, malah turut didorong oleh kealpaan dan pengkhianatan dari dalam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sejarah negara tidak bermula pada 1511 kerana rantau ini telah memiliki tamadun yang agung sebelum kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.
Katanya, negara kemudian dibina semula menerusi kepimpinan yang silih berganti dan berani menghadapi pelbagai cabaran demi mempertahankan amanah kemerdekaan.
Anwar berkata, rakyat wajar mensyukuri keamanan yang terus dinikmati Malaysia meskipun negara dihuni masyarakat daripada pelbagai kaum, warna kulit dan latar belakang.
Menurutnya, kekuatan itu perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap kejayaan negara dapat dipertahankan dan dinikmati seluruh rakyat.
Burhanuddin merupakan tokoh aliran kiri yang bergerak sezaman dengan Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad dalam perjuangan menentang penjajahan British.
Beliau pernah mengetuai delegasi Malaya ke Persidangan Hubungan Asia di New Delhi pada 1947, sebelum memenangi kerusi Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum 1959.
Bekas Presiden PKMM yang kemudiannya memimpin Pas itu pernah ditahan di bawah Peraturan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebelum meninggal dunia pada 1969 di Taiping, Perak.