[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Anwar seru pustakawan pupuk budaya membaca yang dinamik

Bernama 17/06/2025 | 04:37 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian Persidangan dan Mesyuarat Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa para pustakawan di seluruh rantau ini agar melangkaui peranan tradisional mereka dan menyahut cabaran untuk memupuk budaya membaca yang dinamik, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri menyeru pustakawan agar melangkaui peranan tradisional, menjadikan perpustakaan sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual yang aktif, bukan sekadar tempat menyimpan buku.
  • Pustakawan digesa memupuk budaya membaca yang dinamik, khususnya dalam kalangan generasi muda, dengan memperkenalkan kandungan menarik dan relevan kepada pembaca.
  • eknologi digital perlu dimanfaatkan sepenuhnya, agar perpustakaan dapat menjangkau khalayak lebih luas dan kekal relevan dalam era moden.

Berucap pada Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) beliau menegaskan bahawa perpustakaan tidak seharusnya hanya menjadi tempat simpanan buku atau ruang berestetika semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual yang aktif.
"Peranan pustakawan bukan sekadar mengumpul buku dan mempamerkannya di dalam almari kaca. Sebaliknya, ia adalah untuk menjadikan perpustakaan sebagai sumber penting dalam meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada para pembaca," katanya semasa merasmikan acara tersebut di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa pustakawan perlu menjadi pembimbing yang berkesan dalam memperkenalkan kandungan menarik kepada pembaca serta memanfaatkan teknologi dan peralatan digital untuk menjangkau khalayak yang lebih luas.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata dalam membincangkan konsep negara MADANI serta usaha memperkukuh ekonomi dan kenegaraan, asas yang paling utama mestilah sentiasa berpaksikan kepada ilmu pengetahuan, satu tiang seri yang bukan sahaja dipertahankan oleh institusi sekolah dan universiti, malah turut diperkukuh melalui peranan perpustakaan.
Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan suasana perpustakaan yang mesra dan menarik, sambil menyatakan bahawa sejarah tamadun agung dunia sering kali dikaitkan dengan kewujudan pusat ilmu yang unggul, sama ada Perpustakaan Iskandariah yang masyhur, Bayt al-Hikmah di Baghdad, mahupun institusi keilmuan yang muncul di Barat.
Dalam masa yang sama, Anwar turut memuji inisiatif seperti Perpustakaan Digital ASEAN, yang menurutnya mencerminkan komitmen rantau ini dalam mendemokrasikan akses kepada ilmu pengetahuan.
Beliau berkata perpustakaan perlu menyesuaikan diri dengan peredaran zaman, bukan sekadar menawarkan buku tetapi juga menyediakan akses kepada kandungan seperti podcast, filem, e-buku dan sumber digital lain yang kini menjadi alat pembelajaran penting dalam dunia masa kini.
CONSAL XIX, acara tiga tahun sekali, menghimpunkan 1,200 peserta dari negara anggota ASEAN dan luar rantau, dengan sebanyak 89 kertas kerja bernas dibentangkan oleh penceramah dan pakar ternama dari pelbagai bidang.
Sepanjang kongres ini, pelbagai topik dibincangkan termasuk peranan baharu perpustakaan yang semakin menyerlah dalam memupuk komuniti inklusif, sumbangan perpustakaan ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta strategi memperluas ekosistem ilmu untuk kumpulan terpinggir termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan masyarakat luar bandar.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #pustakawan #pupuk budaya membaca #Kongres Pustakawan Asia Tenggara #terkini