NATIONAL
Anwar terima kunjungan Prabowo, bincang isu serantau
Ini merupakan lawatan ketiga Prabowo ke Malaysia sejak memegang jawatan presiden pada Oktober 2024. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengadakan pertemuan tertutup bagi membincangkan isu penting serantau, termasuk kesan pelaksanaan tarif baharu Amerika Syarikat.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Anwar berkata perbincangan itu turut menyentuh usaha dan tindakan bersama kepada rakyat Myanmar yang terjejas akibat gempa bumi baru-baru ini.
"Kami berbincang mengenai isu-isu serantau yang penting, termasuk dampak tarif baharu yang diterapkan Amerika Syarikat terhadap negara-negara ASEAN, selain menyentuh usaha dan tindakan bersama dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Myanmar yang terkesan akibat bencana gempa baru-baru ini.
"Semoga semangat aidilfitri terus memperkuat hubungan persaudaraan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia atas nama keamanan dan kesejahteraan serantau," kata Anwar.
Ini merupakan lawatan ketiga Prabowo ke Malaysia sejak memegang jawatan presiden pada Oktober 2024.
Media antarabangsa melaporkan bahawa kunjungan itu adalah lawatan sempena Aidilfitri dan sebagai tanda penghormatan kepada Anwar sebagai salah seorang pemimpin ASEAN.
Malaysia merupakan pengerusi ASEAN tahun ini, dengan tema 'Keterangkuman dan Kelestarian'.