Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan polis.
- Anwar telah menghubungi Ketua Polis Negara untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memastikan keluarga Allahyarham dimaklumkan perkembangan siasatan.
- Keluarga Allahyarham menyerahkan surat rayuan kepada Anwar, yang menegaskan kepentingan siasatan tanpa kompromi dan perhatian terhadap isu tersebut.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan siasatan berhubung kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan polis dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.
Anwar berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu serta memastikan perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham.
Kematian Allahyarham Noorizwan menjadi perhatian susulan rayuan keluarganya yang mahu mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu.
"Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini, dan amat berdukacita atas pemergian Allahyarham serta memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan,” katanya pada hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata, walaupun dijadualkan menghadiri beberapa program di Melaka, beliau telah mewakilkan pegawainya untuk menerima surat rayuan itu serta mendengar perkara yang dibangkitkan keluarga.
Beliau menegaskan kepentingan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh, selain perkembangan kes dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham.