KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebentar tadi.

Beliau yang berjalan kaki dari Hotel Seri Pacific tiba kira-kira jam 7.44 malam.

Ketibaannya disambut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Anwar dijadual mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang diadakan di pejabat berkenaan.

Ia merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Ibu Pejabat UMNO selepas 25 tahun meninggalkan parti itu.

Anwar dilihat melemparkan senyuman tanpa memberi sebarang komen ketika ditemui media sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Mesyuarat juga dihadiri pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional (BN), termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sekretariat itu antara lain bertujuan menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang sudah disepakati semua parti terlibat.