Anwar, Trump dijangka saksikan pemeteraian penyelesaian konflik Thailand-Kemboja

Menurut Perdana Menteri, pemeteraian itu akan dicapai sekiranya syarat-syarat terperinci disepakati antara kedua-dua negara dalam tempoh satu atau dua hari lagi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penyelesaian konflik antara Kemboja dan Thailand akan diputuskan menerusi perundingan serta perjanjian perdamaian dua negara dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Ringkasan AI
- Penyelesaian konflik sempadan Thailand-Kemboja akan dimuktamadkan melalui perjanjian perdamaian dua hala dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
- Beberapa siri pertemuan telah diadakan di Kuala Lumpur melibatkan ketua pasukan bersenjata dan menteri luar kedua-dua negara, termasuk perbincangan Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja mengenai syarat terperinci perjanjian.
- Sidang Kemuncak turut menghimpunkan kesemua 11 pemimpin negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste serta pemimpin dari Australia, China, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, Brazil, Kanada, Kesatuan Eropah dan Afrika Selatan.
"Baru-baru ini (pertemuan) Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand berbincang untuk memeterai syarat terperinci dan sekiranya disepakati dalam satu dua hari ini, pemeteraian ini akan disaksikan oleh saya dan Trump yang turut mendukung penyelesaian ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari yang meminta Perdana Menteri menyatakan pencapaian utama Kepengerusian ASEAN-Malaysia.
Pada Julai lalu, Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Kejayaan itu disaksikan sendiri Anwar selaku hos, yang juga Pengerusi ASEAN dan saksi selepas mengadakan Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.
Mesyuarat khas itu dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Sementara itu, menjawab soalan Amirudin berkenaan senarai pemimpin negara dan pertubuhan antarabangsa yang akan hadir, Anwar berkata, kesemua 11 pemimpin negara-negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste hadir dengan turut menghimpunkan wakil dari setiap benua.
Jelas Anwar, antara pemimpin luar yang hadir ialah Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Premier China, Li Qiang; Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi; Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon; Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung; dan Perdana Menteri Rusia, Alexey Overchuk.
Turut hadir Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; Perdana Menteri Kanada, Mark Carney; Presiden Kesatuan Eropah, Antonio Costa dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami