NATIONAL

Anwar, Xi sedia bawa hubungan Malaysia-China terokai zaman keemasan baharu

Firdaus Azil 16/04/2025 | 10:17 MYT
Anwar berkata, Malaysia dan China akan memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan teknologi baharu. - Gambar fail/ PMO
PUTRAJAYA: Visi dan gaya kepimpinan Xi Jinping dalam menerajui pentadbiran China, terutamanya dalam soal pembangunan ekonomi dan pengurangan kadar kemiskinan adalah sesuatu yang jarang dicapai oleh pemimpin dunia dalam era moden.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembukaannya sempena Mesyuarat Bilateral Malaysia-China berkata, beliau secara peribadi menyanjung tinggi Xi, dan mengalu-alukan kedatangan Presiden China itu dan delegasinya ke negara ini.
“Izinkan saya sampaikan pandangan dan perasaan secara peribadi bagaimana kami Malaysia memandang tinggi terhadap China, dan secara peribadi terhadap kepimpinan anda, yang pernah saya zahirkan sewaktu kita bertemu di China.
“Presiden Xi sering berbicara tentang pertumbuhan dan pelaburan dalam ekonomi maju, seorang pemimpin yang sering berbicara tentang usaha mengurangkan kemiskinan, dan terbukti berjaya, selain berkongsi kemakmuran dan tamadun, yang sukar dicapai oleh mana-mana pemimpin dunia moden.
“Kami menyanjungi dinasti kepimpinan anda, dan Malaysia mengalu-alukan kedatangan anda bukan sahaja sebagai presiden sebuah negara yang hebat seperti China, tetapi juga sebagai rakan sejati,” katanya lagi.
Anwar berkata, kedua-dua Malaysia dan China akan memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan teknologi baharu seperti inisiatif kecerdasan buatan (AI), seperti yang dibincangkan sebelum ini.
Sementara itu Xi dalam ucapan pembukaannya berkata, hubungan erat kedua-dua negara diterjemahkan daripada saat-saat sukar ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, hingga ke hari ini, yang beliau sifatkan sebagai memasuki era keemasan baharu.
Beliau berkata, persahabatan China-Malaysia berakar umbi dalam sejarah yang panjang, diperkukuh menerusi kerjasama saling menguntungkan, dan dilengkapi dengan semangat kebersamaan menghadapi cabaran.
“Ia mencerminkan nilai murni saling mempercayai dan menghargai keharmonian, serta kebijaksanaan dan keberanian rakyat kedua-dua negara. Hubungan ini amat berharga dan harus terus dipelihara.
“Saya bersedia untuk terus bekerjasama dengan anda dalam memajukan dasar Perkongsian Kemakmuran China-Malaysia, demi membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, dan memastikan semangat persahabatan China-Malaysia terus berkembang megah sepanjang zaman,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Xi Jinping #Malaysia #China