Skip to main content

Malaysia

Anwar ziarah Syeikh Abdul Aziz, kongsi pesanan pelihara turath

ANWAR
Anwar menziarahi di Nasyrul Quran, Putrajaya pada Jumaat - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ulama besar Mesir Syeikh Abdul Aziz al-Syahawi berpesan agar khazanah turath terus dipelihara, selain teknologi baharu dimanfaatkan bagi mendokumentasi dan melestarikan warisan keilmuan Islam. 

Pesanan itu disampaikan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi beliau di Nasyrul Quran, Putrajaya, petang ini. 

Anwar dalam hantaran menerusi media sosial berkata Syeikh Abdul Aziz mengingatkan bahawa pemeliharaan turath merupakan satu tanggungjawab kerana khazanah itu menjadi penghubung generasi hari ini dengan tradisi keilmuan yang panjang. 

“Keistimewaan Al-Azhar, katanya, antara lain terletak pada kekuatan isnad dan kesinambungan tradisi ilmu yang dipelihara turun-temurun.

“Dalam masa yang sama, teknologi baharu tidak harus ditolak, sebaliknya dimanfaatkan untuk mendokumentasi dan melestarikan khazanah tersebut,” kata Perdana Menteri. 

Anwar berkata Syeikh Abdul Aziz merupakan alim kelahiran al-Mahallah al-Kubra, al-Gharbiyyah, Mesir dan antara ulama besar Mazhab Syafi‘iyyah di al-Azhar, selain menjadi Syeikh bagi Mashaikh Mazhab Imam al-Syafie serta Syeikh Tariqah Shahawiyyah Burhamiyyah.

Beliau juga merupakan ahli fikah dan pengajar ilmu qiraat di al-Jāmi‘ Al-Azhar yang tekun dengan tradisi talaqqi kitab turath serta mempunyai kekuatan hafazan dalam pelbagai cabang ilmu agama, hadis dan qiraat al-Quran.

Dalam hantaran itu, Anwar turut memetik pesanan Imam al-Syafie mengenai kesungguhan menuntut ilmu: “Barang siapa tidak merasakan kepayahan belajar walau sesaat, akan meneguk pahitnya kejahilan sepanjang hayat.”

Perdana Menteri turut mendoakan agar Syeikh Abdul Aziz dikurniakan kesihatan dan afiat, dipanjangkan usia dalam keberkatan serta ilmu yang dicurahkan menjadi amal jariah yang terus mengalir.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement