KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-kuasa untuk memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

"Apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini?

"Begitu juga dengan moratorium pinjaman bank. Bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis.

"Apalah salahnya jika bank-bank turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR)?" kata bekas Perdana Menteri itu ketika menyampaikan ucapan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, walaupun usia kerajaan sudah menjangkau tiga bulan, namun beliau masih belum nampak sebarang langkah yang konkrit dan komprehensif diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup rakyat.

"Yang kita dengar menteri kata kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam. Kalau harga telur mahal, jangan makan telur. Ini bukanlah sesuatu yang rakyat harapkan daripada kerajaan.

"Yang rakyat harapkan ialah tindakan-tindakan kerajaan sama ada dari segi dasar, inisiatif atau intervensi tertentu untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

"Ia termasuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi dan dijual pada harga yang munasabah," jelas Muhyiddin lagi.