Salah satu pameran kereta yang paling penting setiap tahun ialah Paris Motor Show; dan bagi tahun 2014 ia akan berlangsung daripada Oktober 4 ke 19. Seperti biasa, banyak pengeluar kereta akan melancarkan kereta terbaru mereka di sana dan antara yang sudahpun mula untuk mencuri perhatian ialah generasi terbaru Hyundai i20.

Gambar-gambar awal mereka tidak banyak tetapi cukup untuk menguja kami. Nama i20 popular di Eropah di mana hampir sejuta telah terjual sejak tahun 2002. Dengan itu, tidak hairanlah kereta baru ini telah direka dan dibangunkan di benua tersebut; mungkin agar lebih mudah untuk bertindak-balas memenuhi selera pasaran itu yang mahukan ruang dalaman yang lebih besar, penggunaan teknologi terbaru, rekaan yang tepat dan keselesaan.

Platform serba baru memberikan wheelbase sepanjang 2570mm iaitu 45mm lebih panjang daripada sebelumnya. Dari situ, Hyundai mendakwa bahawa mereka dapat memberikan ruang kabin yang terbaik di dalam kelasnya.

Pasukan rekaan Hyundai Eropah telah menghasilkan bahagian hadapan i20 yang lebih menonjol menggunakan grill hadapan heksagon yang tegak dan dikelilingi krom serta satu lagi gril nipis menyambungkan kedua-dua lampu hadapan. Kluster lampu ini disertakan dengan DRL (Daytime Running Lights).

Tetapi, yang lebih menarik pada pendapat kami adalah bahagian belakang. Lampu belakang yang dibentuk dengan teliti dan C-pillar dicat hitam berkilat memberi kontras berani.

Ini baru peringkat permulaan, tidak lama lagi lebih ramai yang akan memberi ‘gambar-gambar pertama’ kereta yang bakal dipamerkan di Paris Oktober ini.