MALAYSIA
Apabila klik lebih penting daripada kanak-kanak - Di mana hati nurani kita?
Penyebaran gambar dan video yang bersifat grafik amat membimbangkan dan sama sekali tidak wajar - visual sebegini tidak memberi maklumat kepada orang ramai, sebaliknya menambah luka dan trauma kepada mereka yang terlibat. - Gambar hiasan
CMCF menyeru semua pihak agar mengutamakan belas ihsan dan kawalan kendiri dalam melaporkan kes yang melibatkan kanak-kanak, dengan menekankan empati melebihi ketularan.
Ringkasan AI
- CMCF menegaskan keperluan belas ihsan dan kawalan kendiri dalam melaporkan kes melibatkan kanak-kanak, dengan menolak penyebaran visual grafik, spekulasi tidak sahih dan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa atau pelaku.
- Di bawah undang-undang Malaysia dan Kod Kandungan, identiti kanak-kanak mesti dilindungi, dan kandungan yang bersifat eksploitasi, sensasi atau membawa stigma adalah dilarang serta boleh menyalahi undang-undang.
- CMCF menyeru semua pihak termasuk media, pempengaruh dan pengguna media sosial agar mengamalkan tanggungjawab sosial dan etika dalam penyebaran kandungan, dengan menekankan bahawa sensitiviti terhadap kanak-kanak adalah lambang kemanusiaan.
Penyebaran gambar dan video yang bersifat grafik amat membimbangkan dan sama sekali tidak wajar - visual sebegini tidak memberi maklumat kepada orang ramai, sebaliknya menambah luka dan trauma kepada mereka yang terlibat.
“Ini bukan sekadar berita. Ini adalah kanak-kanak - sama ada mangsa, pelaku atau saksi - semuanya berhak dilindungi, dihormati dan dijaga maruah mereka. Setiap gambar yang dikongsi, setiap dakwaan yang tidak disahkan, dan setiap spekulasi mengenai motif atau keadaan mental hanya menambah trauma kepada mereka serta keluarga yang terkesan,” kata Mediha Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif CMCF.
Di bawah undang-undang Malaysia — termasuk Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 — identiti kanak-kanak mesti dilindungi. Penerbitan nama, gambar, butiran sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengecaman bukan sahaja tidak beretika, malah boleh menyalahi undang-undang.
Kod Kandungan, yang dikuatkuasakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, turut memperjelaskan bahawa kandungan tidak boleh bersifat eksploitasi, sensasi, atau membawa stigma terhadap mana-mana pihak.
Peringatan Etika Penting Untuk Semua Penerbit dan Penggiat Kandungan
- Lindungi identiti kanak-kanak. Jangan siarkan nama, gambar, pakaian seragam atau maklumat pengenalan - walaupun ia telah tular di tempat lain. Menyebarkan semula tetap membawa mudarat.
- Elakkan spekulasi. Jangan siarkan atau bincangkan motif, keadaan mental, atau latar peribadi tanpa pengesahan pihak berkuasa - dan walaupun telah disahkan, gunakan budi bicara yang tertinggi untuk mengelakkan mudarat lanjut.
- Jangan guna visual atau perincian yang keterlaluan. Unsur grafik atau sensasi hanya menambah trauma kepada mangsa dan keluarga serta boleh memesongkan empati masyarakat.
- Berhati-hati dengan tajuk dan hashtag. Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan umpan klik atau topik tular.
- Ingat kesan ‘gema digital’. Setelah kandungan dikongsi, ia boleh tersebar tanpa kawalan. Fikir dahulu sebelum kongsi semula.
- Utamakan belas ihsan dan kawalan kendiri. Laporan beretika tidak menyembunyikan fakta - ia memberi konteks, kemanusiaan, dan penghormatan kepada semua pihak terlibat.
Di Luar Ruang Bilik Berita
Seruan ini tidak terhad kepada media arus perdana semata-mata.
Setiap pengguna telefon pintar yang mempunyai akaun di media sosial mempunyai kuasa sama ada untuk melindungi atau memudaratkan kanak-kanak. Menyiarkan, mengulang kongsi atau memberi komen tanpa pertimbangan menjadikan seseorang sebahagian daripada masalah, bukan penyelesaian.
CMCF menyeru semua pihak - termasuk wartawan, editor, pempengaruh, ibu bapa, pendidik, dan pengguna dalam talian - untuk mengamalkan tanggungjawab sosial dan kawalselia kendiri. Kebebasan bersuara datang bersama amanah moral, dan dalam keadaan sebegini, berdiam diri, kawalan kendiri, dan empati boleh bergema lebih kuat daripada sensasi.
Apabila cerita melibatkan kanak-kanak, sensitiviti bukanlah satu bentuk penapisan - ia adalah lambang kemanusiaan.
Untuk rujukan, Kod Kandungan serta peruntukan berkaitan liputan yang melibatkan kanak-kanak dan mangsa kesalahan seksual boleh didapati di www.contentforum.my.
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF)
