Kelebihan Barisan Nasional (BN) yang hanya mempunyai kelebihan satu kerusi berbanding pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menimbulkan persoalan apa yang bakal berlaku jika kerusi pembangkang seri dengan BN iaitu 16:16.

Penganalisis politik menyingkap apa akan berlaku jika wujud DUN tergantung sekiranya pembangkang menang pada pilihanraya kecil DUN Kuala Besut.

Mengikut peruntukan perlembagaan negeri, perkara itu tertakluk bawah budi bicara Sultan.

“Kalau mengikut bacaan kita kata dewan hendaklah memilih satu wakil rakyat yang mendapat sokongan paling ramai undi di kalangan ahli dewan dan wakil ini dipersetujui oleh sultan menjadi menteri besar,” kata Pengarah Pusat Pembangunan Sosioekonomi UMT Prof Ibrahim Mamat.

Ibrahim menarik perhatian kepada alternatif lain seperti kerajaan campuran wajar dipertimbangkan berikutan ia dapat mengurangkan ketegangan antara kerajaan memerintah dan pembangkang dalam dewan.

“Bagi saya kalau ini berlaku saya nak satu kalau boleh buat kerajaan campuran sebab kalau kita memerintah dalam keadaan 50-50 kalau satu parti saja jadi separuh masih menentang jadi saya rasa terbaik cuba belajar buat kerajaan campuran.”

Bagaimanapun pilihan terakhir, pastinya adalah mengadakan semula pilihanraya negeri Terengganu untuk memilih kerajaan negeri baru.

“Kalau saya rakyat saya suka jugak setiap kalau pilihanraya kita dapat projek baru bantuan baru janji baru manifesto baru dan sebagainya bagi rakyat lah tapi bagi kerjaan dia akan memerlukan sedikit peruntukkan tambahan,” katanya.

Selepas kematian penyandang anggota DUN Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar, BN hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 16 berbanding pembangkang sebanyak 15 kerusi.

Sekiranya BN gagal mempertahankan kerusi Kuala Besut dalam pilihan raya kecil ini, kedudukan jumlah kerusi yang dikuasai kedua-dua pihak ialah 16-16.