SEJAK kebelakangan ini sering diperkatakan tentang usul undi tidak percaya dalam kalangan Ahli Parlimen.

Tindakan beberapa Ahli Dewan Rakyat yang mengemukakan usul tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat agar ia dibahaskan mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.

Namun apakah maksud "undi tidak percaya" daripada sudut Perlembagaan negara? Dan bagaimanakah ia dilaksanakan?

Berikut petikan daripada Facebook Prof Dr Shamrahayu Aziz (@drshamrahayuaziz) berhubung undi tidak percaya.



"ENAM soalan berkaitan Undi Tidak Percaya

Assalamu’alaikum wrt wbt untuk semua pembaca, moga dalam rahmat Allah.

Frasa “Undi tidak Percaya” sudah popular untuk beberapa ketika. Malah sejak mula kerajaan Perikatan Nasional terbentuk lagi ia telah banyak diperkata.

Sebelum ini undi tidak percaya pernah berlaku pada peringkat negeri. Undi tidak percaya dalam Dewan pernah berlaku di negeri Kelantan, terhadap Menteri Besar Kelantan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15hb Oktober, 1977.

Sebelum itu, oleh kerana lompat parti, pada tahun 1961, kerajaan negeri Terengganu yang diterajui PAS telah bertukar tangan kerana kehilangan majoriti.

Kes-kes bertukar kepercayaan yang menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan berlaku di Sabah (1994) dan Perak (2009).

Isu hilang kepercayaan juga telah berlaku di Sarawak (1968). Keputusan kes di negeri Sarawak adalah kes pertama dan menjadi autoriti sekian lama.

Di bawah ialah ENAM soalan yang dikemukakan kepada saya oleh beberapa orang wartawan mengenai usul undi tidak percaya.

Saya mengolah semula jawapan saya kepada wartawan dalam bentuk tulisan ini untuk saya kongsi bersama pembaca saya.


Soalan 1: Apakah undi tidak percaya?

Jawapan:

Undi tidak percaya atau dikenali dalam bahawa Inggeris sebagai “motion of no confidence” adalah penyataan atau undi yang menyatakan bahawa seseorang tidak lagi sesuai untuk memegang jawatan.

Dalam hal undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, undi tidak percaya adalah pernyataan Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kepercayaan ahli Dewan untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri.

Undi tidak percaya boleh berlaku dalam salah satu daripada keadaan berikut:
1. Undi secara formal dalam Dewan
2. Rang Undang-Undang kerajaan tidak diluluskan pada bacaan kedua dan/atau ketiga
3. Perdana Menteri gagal mendapatkan undi percaya setelah memfailkan usul undi percaya
4. Kerajaan gagal dalam pelaksanaan polisi penting
5. Keadaan luar biasa – seperti lompat parti; atau membuat pengumuman dan memaklumkan kepada Ketua Negara kerana bertukar keyakinan


Soalan 2: Adakah terdapat jumlah tertentu dalam kalangan ahli Parlimen agar membolehkan undi tidak percaya itu boleh dibawa ke Parlimen?

Jawapan:

Undang-undang tidak mensyaratkan sebarang nombor atau jumlah usul untuk ia dimasukkan dalam agenda persidangan Majlis Parlimen.

Sekiranya satu usul pun ia boleh dimasukkan dalam agenda Persidangan, dengan syarat ia menepati hukum dan tatacara membuat usul.

Pada persidangan lepas, Langkawi telah membuat cadangan usul undi tidak percaya, dan usul tersebut telah tersenarai dalam agenda mesyuarat tetapi tidak dibahaskan.


Soalan 3: Kenapa usul undi tidak percaya diletakkan pada senarai bawah dalam Aturan Mesyuarat bagi persidangan Dewan?

Jawapan:

Usul undi tidak percaya diletakkan pada senarai bawah dalam Aturan mesyuarat kerana usul undi tidak percaya adalah usul yang dimasukkan oleh ahli persendirian dan tidak mewakili Kerajaan.

Pada Peraturan 15(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, (Standing Order) ada dinyatakan urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain dan urusan Kerajaan hendaklah diaturkan mengikut sebagaimana yang baik pada timbangan Kerajaan dan diberitahu kepada Setiausaha.

Namun begitu Aturan Mesyuarat boleh diubah sekiranya dicadangkan oleh seorang Menteri. Ini adalah dinyatakan dalam Peraturan 14(2).

Ini pernah berlaku apabila Menteri mengangkat agenda untuk pembentangan RUU 355 sehingga membolehkan RUU persendirian yang dibawa oleh Marang telah dibaca. Walaupun begitu ia sukar untuk dilakukan.

Terdapat juga cadangan yang mahukan usul undi tidak percaya ini diletakkan pada senarai yang teratas kerana dikatakan ia adalah urusan penting dan perlu didahulukan untuk menentukan keabsahan lantikan Perdana Menteri.

Ini dikatakan amalan dalam Parlimen.

Namun, suatu amalan itu boleh digunakan sekiranya dipersetujui oleh ahli Dewan. Namun ia tidak boleh diamalkan sekiranya tidak dipersetujui oleh ahli Dewan.

Satu perkara lain yang menjadikannya sukar ialah kerana Peraturan 15(1) dan (2) adalah jelas mendahulukan urusan kerajaan.


Soalan 4: Apakah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Order)? Adakah ia boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan? Bolehkah ia dipinda sekiranya ahli Dewan dapati ia tidak sesuai lagi

Jawapan:

Standing Order adalah tatacara atau peraturan persidangan Dewan Rakyat.

Ia dibuat oleh Dewan Rakyat menurut Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri”.

Justeru ia adalah peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua Ahli Dewan, termasuk juga Yang di-Pertua Dewan (Spaker) dan penyeliaan persidangan Dewan.

Oleh kerana ia dibuat oleh Ahli Dewan, ia juga boleh dipinda oleh mereka. Sebagai contoh, mereka mungkin boleh mencadangkan Standing Order itu dipinda bagi memasukkan peraturan khusus tentang usul undi tidak percaya, seperti peruntukan bagaimana usul tersebut harus diberikan perhatian.

Standing Order ini tidak berupa suatu Akta, tetapi bersifat sebagai Peraturan. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi, tiada apa yang boleh menngatasinya.

Oleh itu, Peraturan ini juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.


Soalan 5: Apakah tujuan undi tidak percaya dan dalam keadaan bagaimanakah ia diusulkan?

Jawapan:

Tujuan undi tidak percaya ialah untuk menafikan kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah seorang yang pada hemat baginda adalah mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat (Perakra 43(2)(a).

Suatu undi tidak percaya secara umumnya diusulkan disebabkan beberapa perkara.

Contohnya, kerana Perdana Menteri tidak layak menjadi Perdana Menteri atas sebab ketidakbolehan melaksanakan tugas, iaitu Perdana Menteri yang incapable; atau Perdana Menteri telah membuat keputusan yang merugikan atau mempunyai kesan buruk kepada negara; atau telah berlaku keadaan luar biasa seperti lompat parti.

Sementara itu, terdapat negara yang juga mengiktiraf undi tidak percaya kepada Menteri (bukan Perdana Menteri seperti negara kita).

Di negara kita, undi tidak percaya adalah hanya kepada Perdana Menteri kerana beliau sahaja yang memegang jawatan atas kepercayaan ahli Dewan, manakala Menteri lain atau ahli Jemaah Menteri,memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (office during pleasure).

Walaupun lantikan Perdana Menteri adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, tetapi Perdana Menteri tidak memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hal ini dinyatakan dalam Perkara 43(5) yang menyatakan, “Tertakluk kepada Fasal (4), Menteri-Menteri selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya”.

Sekiranya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ini berjaya diluluskan atau mendapat undi majoriti ahli Dewan, akibatnya ialah sesebuah kerajaan itu mungkin akan runtuh.

Proses yang akan diambil ialah prosedur yang dinyatakan dalam Perkara 43(4). Pada Fasal 43(4) ini diperuntukkan, “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Sekiranya Perdana Menteri enggan meletakkan jawatannya yang sekali gus meletakkan jawatan Jemaah Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh memecatnya dengan syarat telah terbukti kepada baginda bahawa Perdana Menteri telah secara sah, telah hilang kepercayaan; atau apabila Perdana Menteri sendiri memperakui beliau telah hilang kepercayaan ahli Dewan dan memaklumkan keadaan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun begitu, terdapat pandangan bahawa dalam masa munasabah selepas suatu undi tidak percaya diluluskan, Perdana Menteri juga berpeluang untuk kembali mendapatkan undi percaya.

Namun perkara ini belum pernah berlaku di negara kita dan ia sukar berlaku.


Soalan 6: Sekiranya gagal mendapatkan undi tidak berjaya atau apa akan berlaku sekiranya usul undi tidak percaya gagal diluluskan?

Jawapan:

Sekiranya undi tidak percaya gagal diperoleh maka ia bermaksud, Perdana Menteri masih lagi mempunyai kepercayaan majoriti.

 

 
Sumber Facebook drshamrahayuaziz