Pentas perbahasan Perhimpunan Agung Umno sekali lagi mendengar keluhan berhubung peranan dan inisiatif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam membantu golongan profesional serta usahawan Melayu dan Bumiputera.

Seorang perwakilan Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin hari ini mempersoalkan sejauh manakah pencapaian GLC, yang berperanan penting dalam menjayakan agenda meningkatkan taraf sosio-ekonomi bumiputera, membentangkan kad laporan tahunan dalam usaha memacu pemerkasaan golongan berkenaan.

"Kedah mencadangkan GLC seperti UDA (Lembaga Pembangunan Bandar) setiap tahun buat 'report card' berapa ramai bumiputera yang dibimbing dan dimajukan," katanya semasa membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Beliau menarik perhatian umum bahawa masalah kemiskinan di kalangan Melayu termasuk pengangguran di kalangan siswazah masih membelenggu golongan itu dan menurutnya, 47 peratus daripada siswazah masih tidak bekerja bagi tempoh 2008 hingga 2012.

Isu berhubung peranan GLC yang dibangkitkan dalam beberapa perhimpunan sebelum ini, mendapat perhatian Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika menggulung perbahasan pada Disember tahun lepas, memberi jaminan akan sentiasa memantau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ketua pegawai eksekutif GLC dalam menjayakan Agenda Pemerkasaan Bumiputera.

Abdullah Hasnan turut membangkitkan aspek penabungan simpanan orang Melayu dan bumiputera seperti dalam Tabung Haji dan pemilikan unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang masih rendah di kalangan mereka.

"Kedah juga mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat sehenti di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bagi mengkaji kaedah membantu membasmi kemiskinan," katanya.

Sementara itu, wakil Mahasiswa Nasional Muhammad Nazim Abdul Malek mencadangkan penglibatan tokoh korporat Melayu dan bumiputera dalam program 'Mentor-Mentee' untuk memberi bimbingan kepada usahawan muda.

Beliau juga mengajak masyarakat bumiputera untuk sama-sama memberi sokongan kepada perniagaan yang dibangunkan golongan itu.

"Dalam memperkasakan ekonomi bumiputera, masyarakat kita sendiri bantulah usahawan bumiputera. Kita lihat senario, ada dua kedai. Kedai bangsa kita mahal, kedai bangsa lain murah... belilah di kedai bangsa kita.

"Kalau tak buat, siapa nak bantu bumiputera. Kita kena tunjuk semangat solidariti untuk menjayakan jihad ekonomi," katanya disambut tepukan daripada perwakilan di dalam dewan.